Skip to main
Logo Malaysiakini

MP pembangkang tawar diri lawat depoh tahanan Pati

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan kekhuatiran mereka terhadap kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menyelesaikan isu melibatkan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Sambil memberikan beberapa cadangan, Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) dan Akmal Nasir (PKR-Johor Bharu) berkata penyelesaian yang tuntas berhubung Pati perlu dilihat dari segala aspek dan menyeluruh.

Johari turut memberikan contoh seperti isu yang dibangkitkan oleh dokumentari Locked up in Malaysia's Lockdown yang disiarkan oleh stesen penyiar antarabangsa Al-Jazeera, dengan mencadangkan supaya kerajaan menjemput beberapa pihak yang berkaitan supaya membuat lawatan rasmi ke mana-mana depoh tahanan imigresen bagi menjawab kekhuatiran mengenai hak asasi manusia di negara ini.

“Malah, kami bersedia untuk menawarkan diri untuk melawat depoh tahanan imigresen bagi melawat dan menyediakan laporan mengenai keadaan semasa di depoh tahanan,” katanya dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Akmal Nasir 

Menurut Johari, kerajaan dilihat seolah-olah lebih berminat untuk mengalih perhatian masyarakat kepada isu yang dikaitkan dengan intimidasi terhadap Al-Jazeera dan media yang berkaitan.

Al Jazeera mendapat kritikan dari Putrajaya setelah menyiarkan dokumentari tersebut pada 3 Julai lalu.

Al Jazeera disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Rundingan dengan negara-negara asal Pati perlu dipertingkatkan termasuk memastikan negara-negara in menampung kos penghantaran pulang serta sebarang kos kelewatan yang mana kita terpaksa menanggung urusan harian mereka di depoh tahanan imigresen,” kata Johari.

Dia turut meminta supaya kerajaan mempertimbangkan supaya fasiliti yang tidak diguna pakai seperti kem-kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi meningkatkan keupayaan sedia ada yang boleh menampung 13,000 orang tahanan di depoh tahanan kepada 20,000 orang pada satu masa.

“Kami beranggapan bahawa terdapat kekangan yang nyata mengenai kemampuan 14 buah depoh tahanan imigresen untuk menampung Pati yang ditahan sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal mereka,” katanya.

Akmal pula berkata antara cadangan lain bagi mencapai penyelesaian berikutan masalah lambakan Pati di negara adalah supaya kerajaan membanteras sindiket-sindiket yang membawa masuk Pati.

“Kerajaan juga perlu memantau jalan-jalan tikus sepanjang sempadan negara perlu diperhebatkan dan mempunyai sasaran yang jelas,” katanya.