Skip to main
Logo Malaysiakini

Pereka grafik didenda RM2,000 kerana cabul kekasih

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pereka grafik didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah mencabul teman wanitanya di dalam sebuah kereta minggu lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ammar Asyraf Mohd Fadzil, 24, yang melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita berusia 22 tahun di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur kira-kira 11.30 malam, 29 Julai lepas.

Mohamad Ammar Asyraf yang membayar denda itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, bagaimanapun lelaki itu yang diwakili peguam K. Syama Sundar merayu hukuman ringan atas alasan itu kesalahan pertamanya.

Di mahkamah sama, penganggur, Tasmihairul Tahir, 39, didenda RM1,500 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah menghalang pihak polis daripada menjalankan tugasnya di Blok C, PPR Kerinchi, Jalan Pantai Dalam, di Kuala Lumpur, pada 9.15 malam, semalam.

Tasmihairul yang gagal memberhentikan kenderaan ketika ditahan pihak polis didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana dia menjaga ibunya yang sakit bagaimanapun, Nom Phot memohon hukuman setimpal.

- Bernama