Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan permohonan Najib gugur kes pinda audit 1MDB minggu depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES PINDA AUDIT 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk membatalkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB terhdapnya, kepada minggu depan.

Pada 23 Julai lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan tersebut.

Tarikh baru itu disahkan oleh DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

"Perkara itu dibatalkan untuk hari ini.

"Mahkamah menetapkan minggu depan untuk keputusan," katanya.

Menurut Mustaffa, mahkamah akan memaklumkan pihak terlibat pada Isnin depan berhubung waktu ia bersedia untuk menyampaikan keputusannya.

Jika mahkamah masih belum sedia dengan keputusan pada Isnin nanti, ia akan menyampaikan keputusannya pada hari bekerja seterusnya minggu depan, katanya lagi.

Perbicaraan kes pinda laporan audit 1MDB terhadap Najib dan bekas CEO syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy juga dijadual bersambung pada Isnin dan Selasa ini.

Pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadapnya.

Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan itu atas dasar ia tidak akan menyebabkan prejudis mahupun ketidakadilan kepada tertuduh.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), untuk mengelakkan tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dalam perkara itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, bergantung yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.