Skip to main
Logo Malaysiakini

Rampasan kuasa masih boleh berlaku lepas PRN - Shafie

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Menteri sementara Sabah Shafie Apdal menyuarakan kebimbangannya bahawa rampasan kuasa politik masih boleh berlaku di negeri itu, meskipun selepas kerajaan negeri yang baru ditubuhkan.

Shafie berkata dia bimbang lompat parti akan tetap berlaku selepas pilihan raya negeri nanti, seperti apa yang berlaku membabitkan 13 wakil rakyat yang berbuat demikain sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Perkara seumpama itu telah beberapa kali terjadi dalam sejarah PRN di Sabah dan oleh itu, Shafie menegaskan keperluan untuk negeri itu merangka undang-undang yang dapat mencegahnya.

“Saya rasa mereka masih akan cuba sedaya upaya untuk beli orang (wakil rakyat) selepas pilihan raya (negeri),” katanya dalam temu bual bersama rancangan radio BFM, Breakfast Grille hari ini.

“Kita perlu rangka satu enakmen, (supaya) kita dapat halang mereka daripada keluar daripada kerajaan yang memerintah,” katanya lagi.

Pada 29 Julai, bekas ketua menteri Musa Aman mengumumkan yang dia mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Sehari kemudian, Shafie yang juga presiden Warisan membubarkan DUN selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiaddin, membuka jalan untuk pilihan raya mengejut diadakan.

Shafie berdepan kritikan kerana mahu mengadakan pilihan raya ketika negara berdepan wabak Covid-19 dan bergelut dengan krisis ekonomi.

“Sudah tentu saya tak suka untuk bubar (DUN) sebab kita sedang berdepan pelbagai masalah di dalam negara ini. Bukan saja krisis ekonomi, tetapi juga Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Shafie menjelaskan wakil rakyat pemerintah ditawarkan wang dan pangkat dalam kerajaan untuk menukar sokongan, selain diancam oleh pengintip yang mengekori mereka serta pegawai cukai ke rumah mereka.

“Bila saya tengok cara mereka buat macam itu, adalah lebih baik untuk saya serahkan (mandat), biar rakyat yang menentukan,” katanya.

Shafie berkata Yang di-Pertua Negeri mempunyai hak perlembagaan untuk memberi perkenan terhadap pembubaran DUN, berdasarkan nasihat ketua menteri.