Skip to main
Logo Malaysiakini

Masyarakat kini 'petugas barisan depan' - Muhyiddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Masyarakat perlu menganggap diri sendiri sebagai "petugas barisan hadapan" dan terus mengamalkan norma baru dalam usaha membantu kerajaan memerangi penularan Covid-19, kata Muhyiddin Yassin.

Sambil menyeru masyarakat, perdana menteri berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

Katanya ini bagi mengelakkan daripada wujudnya kluster-kluster baru yang menyebabkan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita.

“Justeru, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri ahli masyarakat pada setiap masa,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

"Sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, saya menyeru anda semua terus mempraktikkan amalan kebiasaan baru dengan mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baru di Kompleks Sukan Pagoh, di Muar hari ini.

Perdana menteri berkata dia pasti bahawa masyarakat tidak mahu kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Katanya jika keadaan ini terjadi, sudah tentu banyak masalah lain timbul termasuklah mengganggu usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Tambahan pula, kerajaan telah memperuntukkan RM295 billion untuk memulihkan ekonomi selepas terkesan akibat Covid-19 dengan sebahagian daripada wang itu sudahpun diagihkan diberi kepada pihak-pihak yang memerlukan,” katanya.

“Kalau kita kembali semula dan terpaksa mengenakan PKP semula seperti asal maka ekonomi kita pastinya menghadapi kesan yang amat buruk dan kesannya itu akan dapat sama-sama dirasakan oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, dia mengingatkan rakyat tidak boleh alpa dan perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

Bersempena pelancaran berkenaan, Muhyiddin turut memperkenalkan logo dan slogan kempen “Bersama Hentikan Wabak Covid-19” serta menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Mohd Nor Fakihin Aqsa Mohd Nor Azam.

Mohd Nor Fakihin Aqsa memenangi Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline kempen itu yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 1 hingga 10 Julai lepas.

Selain itu, perdana menteri turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baru Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengandungi 26 muka surat.

Buku itu antara lain menekankan mengenai strategi kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), komuniti sebagai barisan hadapan, serta tindakan keluarga, institusi pendidikan, masjid dan lain-lain dalam bersama-sama mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

-Bernama