Mesej tular palsu berkaitan Pak Lah diadukan ke polis
Pegawai Khas Abdullah Ahmad Badawi, Jefridin Atan, hari ini berkata beliau sendiri akan membuat laporan polis terhadap mesej tular palsu yang mengaitkan kematian bekas perdana menteri itu.
Jefridin berkata beliau memandang serius mesej tular berkenaan dan akan menghadirkan diri untuk membuat laporan polis pagi esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, mesej tular palsu ini adalah fitnah semata-mata dan menyusahkan rakyat.
"Sepatutnya rakyat memohon doa agar Pak Lah (Abdullah) panjang umur dan sihat sejahtera di samping keluarga.
"Kematian bukan isu yang boleh dimainkan. Saya akan serahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut tentang perkara ini," katanya ringkas kepada Bernama.
Sementara itu, bekas setiausaha akhbar Abdullah, Teoh Ai Hua, ketika dihubungi berkata beliau berkesempatan berjumpa dengan bekas ahli parlimen Kepala Batas itu kediamannya baru-baru ini.
"Pak Lah sihat sahaja ketika saya berjumpa tempoh hari, saya pun tidak faham kenapa rakyat menularkan mesej tidak benar ini. Janganlah berbuat demikian,” kata Teoh yang kini merupakan pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia.
Hari ini, sekali lagi netizen dihidangkan dengan berita palsu menerusi penularan tangkap layar paparan Facebook yang mengaitkan kematian Abdullah.
Pada 2 Ogos lepas, mesej yang sama turut digembar-gemburkan dan Jefridin yang mewakili Pejabat Abdullah menafikan berkenaan.
Abdullah Badawi, 81, adalah perdana menteri kelima Malaysia dan berkhidmat dari 2003 hingga 2009.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai