Suara anak muda perlu jadi guruh atau kilat
ULASAN | Pada tanggal hari ini lima tahun yang lalu, berlangsung Sidang Anak Muda #SelamatkanMalaysia. Ia dianjurkan oleh Gerakan Anak Muda Harapan Baru di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Sidang berkenaan berhasil dengan pembabitan tokoh-tokoh anak muda rentas kelompok, pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik.
Persidangan berlangsung hangat, dengan kritikan besar terhala ke arah kepemimpinan negara yang serong dan bobrok, dengan kes-kes berprofil tinggi memalukan negara di mata dunia.
Akhirnya sidang itu mencapai kata sepakat dengan mengeluarkan lima resolusi bertindak dan lima tuntutan seperti berikut:
Resolusi Bertindak Sidang Anak Muda:
- Bersama-sama menggerakkan himpunan dan tuntutan Bersih 4.0
- Berkempen menyalakan lampu kenderaan di siang hari sebagai simbolik protes terhadap kepemimpinan negara dan bersama-sama mendesak perubahan
- Bersetuju mewujudkan ‘taskforce’ dalam kalangan anggota sidang untuk bergerak bersama-sama dalam usaha menyelamatkan negara
- Bermula 9 Ogos 2015, sidang bersetuju untuk tularkan tanda pagar #SelamatkanMalaysia sebagai usaha memupuk kesedaran dan prihatin rakyat untuk bertindak demi masa depan negara
- Pemimpin negara yang khianat dan rasuah perlu diturunkan segera.
Tuntutan Sidang Anak Muda:
- Membebaskan institusi-institusi penguatkuasaan undang-undang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada cengkaman eksekutif dan meletakkan badan-badan tersebut di bawah tanggungjawab legislatif.
- Memansuhkan akta-akta drakonian yang mencengkam rakyat seperti Akta Hasutan, Sosma, Pota, Poca, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan lain-lain
- Memastikan tiada pihak berkepentingan memainkan isu agama dan perkauman dalam usaha mempertahankan kedudukan politik
- Menyeru dan bersama-sama para penjawat awam untuk bangun dan bersuara membetulkan kepincangan urus tadbir kerajaan
- Menggesa keterlibatan anak muda dalam proses membuat keputusan dasar dan polisi kerajaan serta penggubalan dan pelaksanaan polisi baru bagi membela hak-hak golongan pekerja, petani, nelayan, peniaga kecil, wanita dan orang kelainan upaya (OKU).
Seusai persidangan, suatu jawatankuasa diwujudkan untuk menggerakkan semua resolusi berkenaan. Bermula dengan siri perbincangan di premis-premis terpencil (kerana sebilangan kami diekori rapat ‘cawangan khas’ ketika itu), jelajah disusun dan penerangan di media sosial digerakkan yang akhirnya - dengan elemen-elemen lain yang menjadi pemangkin - menatijahkan tsunami besar.
Akhirnya tenggelamlah kleptokrasi jahat pada PRU ke-14 lalu.
Kini, Gerakan Anak Muda Harapan Baru yang mengorganisasi sidang tersebut menjadi sayap parti politik dan dikenali sebagai Pemuda Amanah. Dan, ya, sekilas pandang walau telah lima tahun berlalu - dengan gerombolan kleptokrasi yang dijatuhkan kini kembali dan semakin mengukuh di persada kuasa - masih berbaki beberapa tuntutan yang belum terlaksana.
Kerajaan perlu dihenjut
Tempoh 22 bulan bermati-matian merealisasi perubahan dan kini satu demi satu tiang-tiang perubahan itu diranapkan pengkhianat. Pastinya ia bukan senario yang diinginkan semua orang.
Dasar penjimatan untuk penguasa kini menjadi pemborosan bagi mereka yang berkuasa. Makan tengah hari di parlimen sahaja bernilai ribuan ringgit.
Itu belum lagi elaun puluhan ribu setiap pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi yang diisi oleh ahli-ahli Parlimen. Rakyat? Cukup dengan insentif-insentif yang perlu melalui birokrasi melelahkan.
Berbulan menunggu, tapi belum tentu dapat.
Tiada pilihan lain. Gerakan kepemudaan perlu disemarakkan semula. Suara anak muda di setiap peringkat perlu menjadi guruh - bahkan kilat - yang mampu menyambar pada bila-bila masa.
Ketika warga muda rata-ratanya kehilangan punca pendapatan akibat pandemik yang dikhuatiri memasuki gelombang ketiga, kita harus sedar bahawa ini adalah prioriti perjuangan.
Kerajaan yang selesa dengan Mak Cik Kiah dan Pok De Mok De itu perlu dihenjut agar pelaksanaan bantuan rakyat berjalan lancar - tidak perlu melalui birokrasi berbulan lamanya.
Perjuangan untuk kelangsungan hidup yang kini menjadi kompas setiap isi rumah harus menjadi ‘kiblat’ baru perjuangan anak muda. Menyerahkan segalanya kepada kerajaan pengkhianat adalah satu keculasan yang tiada maaf.
Tiada lagi dalam sejarah ketamadunan bangsa ada golongan pengkhianat boleh menyelamatkan orang lain. Sudah namanya pun pengkhianat, pastilah yang diutamakan pada setiap masa adalah diri mereka sendiri.
Kalau pun mereka bersuara, suara itu adalah untuk kepentingan gerombolan pengkhianat jua. Depan orang mereka berwajah malaikat; di belakang manusia lain, tidak tahulah berapa banyak rupa yang mereka ada.
Akhir kata, selamat ulang tahun kelima Sidang Anak Muda #SelamatkanMalaysia. Sejarah Pemuda Amanah terbina daripada kepayahan perjuangan dan hempas pulas teriakan lantang di jalan raya.
Tuntutan yang belum selesai akan terus bernadi dalam setiap agenda perubahan.
Kita berjuang hanya untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk generasi masa depan. Jika susah dan payah, maka kesusahan itu bakal menjadi tajuk cerita untuk disurahkan kepada anak cucu esok.
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah ketua Pemuda Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai