Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendekatan Hisham berjaya elak AS - China bertembung di Laut China Selatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Luar Hishamuddin Hussein mengambil pendekatan diplomasi yang telah berjaya mengelakkan Laut China Selatan daripada menjadi "medan pertembungan" dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam, berkata perperangan boleh tercetus di perairan itu apabila AS menggerakkan aset ketenteraannya ke Laut China Selatan.

Katanya, AS bertindak demikian kerana menganggap China sedang membuli negara-negara Asean termasuk Malaysia.

"Menteri luar telah melakukan kerja kuat dan mengambil pendekatan tepat bagi memastikan Laut China Selatan tidak bergolak menjadi medan perperangan.

"Kita semua maklum, beliau (Hishamuddin) telah menghubungi setiausaha negara AS untuk berbincang soal Laut China Selatan, pendekatan berhemah ini juga diambil dengan wakil kerajaan China.

"Pendekatan diambil ini tepat, kerana AS pada akhir bulan April telah menggerakkan kapal perangnya ke Laut China Selatan," katanya ketika dihubungi, hari ini

Jelas Mizan, pendekatan diambil Hishammuddin telah berjaya meredakan ketegangan dua negara kuasa besar itu.

Pada 5 Ogos lalu, Hishammuddin di Dewan Rakyat memaklumkan yang beliau akan menghubungi pemimpin AS dan China untuk menyatakan komitmen Malaysia bagi menyelesaikan isu Laut China Selatan.

Bagi tujuan itu, Hishamuddin berkata beliau akan membuat panggilan kepada Menteri Luar China, Wang Yi, pada malam itu dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo esok, antara lain untuk membangkitkan isu berkenaan kepada kedua-dua pemimpin terbabit.

“Malaysia tidak sepatutnya diheret dan terperangkap dalam geopolitik pertimbangan kuasa besar dan perlu berusaha mengelakkan sebarang insiden tidak diingini di perairan itu, termasuk pertembungan ketenteraan di perairan oleh mana-mana pihak.

Malaysia sejak dahulu lagi sentiasa komited untuk menyelesaikan isu Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang bersesuaian,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mizan berkata meskipun ketegangan itu berjaya dileraikan, namun Malaysia perlu berwaspada dengan China.

Katanya, kapal China masih belum berundur dalam erti kata yang sebenarnya dari perairan Laut China Selatan.

"Meskipun China kata mahu berundur, namun kita perlu berwaspada kerana mereka belum berundur dalam erti kata sebenarnya.

"Kerajaan tidak boleh menganggap isu perairan ini selesai, sebaliknya perhatian serius perlu diberikan," katanya.