Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Klang minta kerajaan tubuh dana bantuan sewa Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago meminta kerajaan menubuhkan dana bantuan sewa bagi membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19 untuk membayar sewa pejabat, kediaman dan premis perniagaan.

Beliau turut mencadangkan agar dana bantuan itu dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Covid-19 yang telah dibentangkan.

Katanya, bantuan yang disalurkan kerajaan ketika ini masih tidak mencukupi, malah ada kelompok tertentu yang tersisih daripada menerima bantuan itu.

“Sepanjang tempoh Covid-19, saya diberitahu tentang keluarga yang kehilangan rumah kerana tidak dapat membayar sewa.

"Keluarga empat orang, seorang suami dan isteri yang mengandung serta dua anaknya, tinggal di dalam kereta mereka yang di parkir di tempat letak kereta selama 10 hari di luar Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini di kawasan pilihan raya saya.

"Ini hanya satu kes yang saya temui. Saya pasti anda tahu banyak orang lain di luar sana,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada 27 Mac Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Dalam pada itu Charles turut memetik tentang pengusaha restoran di Klang yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana kekurangan pelanggan.

Malah pemilik rsstoran itu juga bimbang jika dia tidak akan dapat mengekalkan perniagaannya.

"Oleh sebab itu, kerajaan harus mencari alternatif, jalan keluar kepada isu ini.

"Kerajaan New Zealand mengenakan pembekuan kenaikan sewa kediaman bagi melindungi penyewa.