1,115 Orang Asli akan dipindahkan susulan projek empangan Nenggiri
DUN KELANTAN | Tiga perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan akan dipindahkan apabila projek empangan hidroelektrik Nenggiri dimulakan pada Mac 2022.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, ia melibatkan sejumlah 1,115 penduduk Orang Asli di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Wias yang tejejas dengan projek tersebut.
Menurutnya, projek tersebut akan dimulakan dengan pembinaan penempatan baru untuk penduduk yang terjejas.
"Kerja-kerja awal akan bermula pada Mac 2022 melibatkan pembinaan penempatan semula Orang Asli termasuk rumah, sekolah dan kemudahan-kemudahan asas yang lain.
"Ia dijangka akan selesai pada Mac 2025. Apabila selesai barulah penduduk dari tiga kampung Orang Asli akan dipindahkan kerana penempatan asal mereka akan tenggelam apabila air dialirkan ke empangan," katanya ketika sesi penggulungan sidang dewan undangan negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ab Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) yang meminta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai projek tersebut dan kesan terhadap masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan itu.
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Exco Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat Dan Integriti berkata, dua kawasan hutan simpan berdekatan sudah dikenal pasti oleh pihak kerajaan untuk dijadikan penempatan baru mereka.
Katanya, ia meliputi dua kawasan yang dipanggil sebagai plot A berkeluasan 720 ekar dan plot B dengan keluasan 1,337 ekar.
"Penduduk Pos Pulat dan Kampung Wias akan dipindahkan ke penempatan plot A, manakala plot B akan menempatkan penduduk dari Pot Tohoi.
"Kedua-dua plot ini terletak di kawasan hutan simpan berhampiran yang dikenal pasti oleh kerajaan dan mendapat persetujuan masyarakat Orang Asli yang terlibat," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai