Skip to main
Logo Malaysiakini

Masa itu bukannya emas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bayangkan jika anda diberi wang sebanyak RM86,400.00 setiap hari.

Bangun tidur sahaja, selonggok wang tunai sebanyak RM86,400.00 ada di hujung katil.

Esoknya ada lagi selonggok dengan jumlah yang sama dan esoknya.

Namun yang anehnya, wang ini akan lenyap apabila jam tepat menunjukkan pukul 12 tengah malam setiap hari.

Sepantas kilat juga, selonggok wang tunai berjumlah RM86,400.00 akan muncul lagi, sebaik jarum saat di jam dinding rumah anda berdetik ke saat pertama selepas jam 12 tengah malam.

Tidak kira sepantas mana anda membelanjakannya sepanjang hari tersebut, wang tersebut tetap akan hilang pada tengah malam.

Sebagai seorang yang bertanggungjawab, anda mungkin akan melaporkannya kepada pihak berkuasa, kerana sebagai mahasiswa yang dilatih menggunakan logik dan rasional akal, sesuatu kejadian ‘sakti’ sebegini tidak mungkin akan berlaku di kurun ke-21 yang serba canggih ini.

Tidak hairan jika hati anda terdetik, ini tentu melibatkan sejenis penyelewengan. Sesetengah dari anda mungkin akan melihatnya sebagai rezeki terpijak, dan membelanjakannya semahu-mahunya.

Untuk anda yang menggilai apa jua yang terkini di pasaran, mungkin sudah mula melayari kemudahan hidup ciptaan Tim Berners-Lee itu untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Bagi anda yang lebih pragmatik, mungkin akan melaburkannya ke dalam produk-produk pelaburan yang diyakini.

Bagaimana jika saya katakan, setiap daripada kita sebenarnya melalui senario di atas setiap hari? Sedar atau tidak, setiap dari kita dianugerahi sesuatu yang sangat bernilai setiap hari, dan kita hanya diminta untuk membelanjakannya tanpa disoal.

Ya, komoditi yang saya maksudkan adalah masa (sejumlah 86,400 saat setiap hari, untuk lebih tepat).

Senario yang saya cuba jelmakan di atas mungkin tidak adil untuk disamaratakan dengan masa, komoditi (saya suka gunakan istilah komoditi atas sifatnya yang boleh ‘dibelanjakan’) yang tidak mungkin dapat difahami sepenuhnya oleh manusia, namun umum menerimanya sebagai sesuatu yang amat bernilai.

Saya gunakan wang kerana definisinya yang mudah difahami oleh setiap kategori manusia.

Ketinggian nilainya tidak terperi, sehingga disebut-sebut dan ditulis dihampir ke semua ceruk tamadun manusia.

Teori relativiti Einstein

Pepatah lama Cina ada mengatakan, “masa yang terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu, namun masa yang kedua terbaik adalah sekarang”.

Cendekiawan kurun kelima Yunani, Pericles berpendapat, masa adalah sebaik-baik penyelesai masalah.

Gautama Buddha juga menyeru agar kita tidak terlalu taksub dengan masa silam, dan tidak terkejar-kejar dengan mimpi masa hadapan.

“Fokuskan mindamu kepada apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Malah, Allah sendiri bersumpah terhadap ciptaan-Nya yang satu ini, sebagaimana direkodkan di dalam surah ke-103 al-Quran.

Menariknya, saintis terulung, Albert Einstein dalam memperihalkan teori relativiti umumnya mengatakan “masa adalah ilusi”.

Ilusi yang dimaksudkan beliau bukanlah menidakkan kewujudan masa malah menjadikannya elemen penting yang mampu memberi penjelasan terhadap hampir kesemua fenomena fizikal di seluruh alam semesta.

Menurut teori ini, masa digandingkan dengan ruang (menjadi ruang-masa atau space-time) dan ruang-masa untuk keseluruhan alam semesta ini sebenarnya sudah terbentuk.

Konsep masa silam, sekarang dan masa hadapan hanyalah ‘ilusi’ kerana manusia bergerak dan berada dalam ruang yang serupa.

Salah satu implikasi secara langsung kepada teori ini adalah perjalanan merentas masa adalah tidak mustahil jika dan hanya jika kita mampu bergerak lebih (baca: beribu kali ganda) pantas dari kelajuan cahaya (lebih kurang 300 ribu kilometer per saat sahaja).

Fakta yang sangat menarik untuk dibahaskan jika teori ini terbukti benar. Menariknya juga, teori relativiti umum Albert Einstein ini belum lagi dibuktikan salah!

Untuk khalayak umum seperti kita, tidak perlu rasanya retorik ketinggian nilai masa (atau teori Albert Einstein!) ini dipanjangkan jika setiap inci sejarah tamadun manusia telah pun merekodkannya untuk difahami dan diteladani.

Sebagai seorang mahasiswa, jika menginginkan yang terbaik dalam pengajiannya saya sarankan untuk mula menghargai masa. Penghargaan tidak perlu datang dengan pemahaman yang jitu dan disertai dengan penerimaan istilah yang universal.

Cukup sekadar membolehkan (atau lebih tepat, memaksa) diri anda untuk mula melakukan sesuatu. Apa juga ‘sesuatu’ itu.

Ya, itu sudah cukup kerana perjalanan seribu batu dimulakan dengan langkah pertama. Dek ingin menghargai seseorang kita sanggup berhabis dan berbelanja, hatta melakukan apa sahaja untuk menunjukkan ketinggian nilai penghargaan itu bukan?

Nah, laburkan yang serupa jika ingin menghargai masa anda sebagai seorang mahasiswa.

Ingin mengejar Anugerah Dekan setiap semester? Penuhi pelaburan masa anda dengan nota, bahan rujukan, dan pensyarah.

Ingin mengejar pengalaman berorganisasi ke peringkat antarabangsa? Laburkan masa dengan membina rangkaian dan kenalan di serata dunia.

Ingin mengejar pencapaian luar bilik kuliah sehingga setaraf atlit atau artis berjaya? Laburkan untuk mendalami dan mencari (atau mencuri?) peluang untuk mengetengahkan bakat dan usaha.

Ingin mengejar status ikon sukarelawan paling berjasa? Mula laburkan masa anda untuk orang lain.

Sudah tiba masanya untuk kita menghargai setiap saat yang kita laburkan, kerana nilainya yang lebih tinggi dari emas.


DR NAHRIZUL ADIB KADRI merupakan profesor madya di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM). Beliau juga bertanggungjawab membantu pencapaian misi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM untuk membentuk sahsiah diri mahasiswa melalui peranannya sebagai felo dan pengetua Kolej Kediaman sejak tahun 2011. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.