Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat kes OKT terjun bangunan mahkamah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota polis yang mengiringi Orang Kena Tuduh (OKT) yang ditemukan mati disyaki terjun dari tingkat lima bangunan mahkamah di George Town semalam cuba menghalang lelaki itu daripada bertindak sedemikian namun dia terus terjun.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata dalam kejadian pada 11.35 pagi itu, OKT berusia 30 tahun tersebut baru keluar dari tandas sebelum seorang anggota polis mengiringinya semula ke bilik bicara mahkamah di tingkat lima.

"Lelaki itu semasa kejadian dalam keadaan bergari dan dia melarikan diri ke arah tingkap sebelum anggota tersebut menghalangnya, berlaku pergelutan antara mereka sebelum OKT tersebut terus terjun dari tingkat lima bangunan berkenaan.

“Anggota polis itu mengalami kecederaan di tangan kiri serta jari kanan ketika menghalang lelaki itu terjun," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini sambil menambah bahawa polis menyiasat kes itu sebagai kematian mengejut kerana pemeriksaan dan laporan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah.

Bagaimanapun, Sahabudin berkata pihaknya akan menyiasat anggota polis yang mengiringi OKT itu mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai menyebabkan orang tahanan lari.

Difahamkan, OKT itu didakwa di mahkamah tersebut semalam atas kesalahan mencederakan jirannya mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dia, yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, telah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,000.

Sahabudin juga berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak pada 4 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima yang dipercayai terjun dari bangunan sebuah kondominium di Bayan Lepas pada 3 Ogos.

"Polis menerima maklumat berhubung kejadian remaja itu bunuh diri pada 6 petang dan siasatan lanjut mendapati dia telah menjadi mangsa ugutan jenayah serta buli siber lelaki tersebut yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

"Suspek dipercayai akan memperdaya remaja perempuan dikenalinya menerusi Facebook dengan mengugut akan menularkan gambar-gambar mangsa yang diubah suai di media sosial jika enggan meneruskan hubungan atau melakukan hubungan seks dengannya.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu meminta wang daripada mangsa yang diperdayanya dan suspek turut mempunyai kes sama di Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta Perak.

- Bernama