Skip to main
Logo Malaysiakini

Auku 1971: Mahasiswa ajak menteri kembali ke meja rundingan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahasiswa pro-Pakatan Harapan (PH) mengajak Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad kembali ke meja rundingan bagi membincangkan usaha pemansuhan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971.

Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) Irfan Mahzan, berkata sehingga hari ini persoalan dan tuntutan dibangkitkan kebanyakan persatuan mahasiswa berhubung isu ini masih gagal dijawab kementerian itu.

"Proses pemansuhan Auku hampir menjadi kenyataan menerusi usaha libat urus sebelum ini oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama pemegang taruh universiti melalui jawatankuasa pemansuhan Auku.

"Meskipun proses pemansuhan Auku dihentikan, kami tetap konsisten untuk bersama semua pihak dalam menyusun usaha dan kerjasama bagi memansuhkan Auku.

"Kami sekali lagi menuntut agar menteri, Noraini dan kita kembali ke meja rundingan untuk berbincang bersama wakil-wakil berkepentingan mahasiswa, ahli akademik dan badan bukan kerajaan," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Sidang media berkenaan turut disertai Presiden Mahasiswa DAP Calvin Yeoh, Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional Amin Mubarak dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Farhan Rosli.

Kerajaan PH sebelum ini meminda Auku untuk membenarkan pelajar menyertai aktiviti parti politik yang diadakan dalam kawasan kolej dan universiti mereka.

Ia merupakan langkah pertama ke arah memansuhkan Auku sepenuhnya dan menggantikannya dengan satu undang-undang baru yang lebih komprehensif pada tahun 2020.

Bagaimanapun, kerajaan PN berkata ia tidak akan meneruskan dengan rancangan berkenaan.

Sementara itu bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata jika tidak disebabkan pertukaran kerajaan pindaan akta itu akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Oleh itu beliau meminta kerajaan PN meneruskan usaha PH sebelum ini bagi memansuhkan Auku.