MB S'gor: PBT perlu ambil tindakan tegas terhadap salah laku pegawai
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digesa mengambil tindakan tegas terhadap anggota dan pegawai penguatkuasa yang dikesan menyalahguna kuasa, melakukan penyelewengan dan menerima rasuah.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang membuat gesaan itu berkata pihak PBT seharusnya mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan dan salah laku pegawai, sekiranya dakwaan mengenai perbuatan itu didapati benar.
"... terima kasih kepada mereka yang memberi maklumat berhubung kesalahan anggota itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kursus keusahawanan ‘Selangor Restart’ anjuran Hijrah Selangor di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan empat anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam, kerana disyaki menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.
Katanya kes itu juga tidak akan menjejaskan atau menghalang mana-mana PBT di negeri meneruskan operasi penguatkuasaan di kawasan masing-masing.
"Kita juga tidak akan berputus asa untuk melaksanakan penguatkuasaan selain mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis perniagaan yang melanggar undang-undang. Hanya ada segelintir (anggota penguatkuasa) terlibat, saya percaya sebahagian besar penjawat awam kita menjalankan tugas dengan baik," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai keluhan peniaga termasuk penerima pembiayaan perniagaan di bawah program Hijrah Selangor apabila premis mereka di Bandar Baru Sungai Buloh diarahkan tutup dalam operasi besar-besaran oleh MBSA pagi tadi, Amirudin berkata tindakan PBT itu dibuat berdasarkan kepada undang-undang.
"Ia bukan sahaja (berkaitan) isu lesen, kadang-kadang ia melibatkan struktur tambahan dan perkara yang dibangkitkan oleh MBSA tadi adalah (peniaga) membuat pelebaran premis tanpa kebenaran. Mereka (peniaga) melakukan kesilapan dan mereka kena tangani sendiri...kita ikut batas undang-undang sedia ada,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai