Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM belum lihat data vaksin Covid-19 Rusia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) mahu melakukan kajian terhadap vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh Rusia terlebih dahulu sebelum mengesyorkan penggunaannya di Malaysia, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata setakat ini, kementerian berkenaan hanya mengetahui mengenai vaksin baru itu melalui laporan media.

Dr Noor Hisham juga berkata belum ada sebarang penerbitan mengenai penyelidikan vaksin tersebut.

"Telah diumum penemuan vaksin tersebut tetapi KKM masih belum menerima sebarang data penyelidikan vaksin tersebut. Jadi banyak persoalan timbul yang kita tiada jawapan," katanya kepada wartawan dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham ditanya mengenai vaksin berkenaan yang diberi nama "Sputnik V" oleh Rusia, sempena satelit pertama di dunia yang dilancarkan oleh Kesatuan Soviet.

"Kita tak ada lagi dapati penerbitan kajian tersebut, jadi kita tunggu penerbitan tersebut, baru boleh baca dan nyatakan berkesan atau tidak.

"Setakat ini hanya baca dari berita, tapi tiada bukti-bukti saintifik dapat dilihat atau kaji sebelum guna vaksin ini.

"Apa yang penting kena lihat keberkesanan dan kesan samping. Kajian klinikal kena dijalankan, perlu lihat data-data tersebut, sebelum syor guna vaksin tersebut," tambah Noor Hisham.

Pada 12 Ogos lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan bahawa negara itu menjadi negara pertama memberikan kelulusan peraturan untuk vaksin Covid-19 setelah kurang dua bulan ujian dilakukan terhadap manusia.

Rusia menyamakannya kejayaannya dengan perlumbaan ruang angkasa era Perang Dingin.

Namun, saintis menyuarakan kebimbangan tentang kurangnya ujian vaksin berskala besar untuk menentukan keselamatan dan keberkesanannya.

Vaksin biasanya memerlukan 10 hingga 15 tahun untuk dibangunkan, dengan rekod dunia dipegang oleh vaksin Ebola yang memerlukan lima tahun untuk dibangunkan.

Sebuah program yang diketuai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap dapat mempercepatkan proses dan memendekkan masa pembangunannya hanya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Awal hari ini, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata masih terlalu awal untuk memesan vaksin dari Rusia itu dan KKM harus mengkaji perkara itu terlebih dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata KKM belum menyelesaikan penyelidikannya mengenai virus yang diambil dari pesakit yang berkaitan dengan kluster Sivagangga.

Menurutnya, penjujukan genom sedang dilakukan untuk menentukan apakah kluster tersebut melibatkan mutasi Covid-19 yang disebut sebagai D614G, yang telah dikenal pasti sebagai perebak utama (Super Spreader).

"Setakat ini, kita belum mengesahkan apakah kluster Sivagangga mempunyai kaitan dengan mutasi D614G. Kita hanya mencurigainya, tetapi ini belum dapat disahkan," katanya.

Dr Noor Hisham menambah proses penjujukan genom memakan masa sekitar dua minggu dan menjangka keputusan mungkin diperolehi minggu depan.