Skip to main
Logo Malaysiakini

3 ditahan kerana disyaki rasuah RM3 juta projek pembalakan di Pahang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga individu ditahan kerana disyaki memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, berhubung projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta di Pahang, lima tahun lepas.

Suspek yang berusia antara 39 dan 73 tahun itu ditahan, ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, semalam.

Menurut sumber SPRM, seorang yang ditahan itu merupakan bekas ahli lembaga pengarah manakala dua lagi adalah pengarah syarikat.

“Kes ini berkaitan pengambilalihan projek pembalakan di satu daerah di Pahang seluas 6,591.67 ekar pada 2015.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga individu terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini, bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

- Bernama