Skip to main
Logo Malaysiakini

Kempen solidariti Guan Eng kutip hampir RM4 juta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

DAP mengumumkan berjaya mengumpulkan hampir RM4 juta dalam kempen kutipan dana "Solidariti Bersama Lim Guan Eng" yang berlangsung selama seminggu.

Sebanyak RM3.947 million berjaya dikumpulkan sejak kempen itu dilancarkan sehingga tengah malam, semalam.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua mengatakan bahawa kempen itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi menanggung kos bayaran ikat jamin Lim sebanyak RM1.1 juta tetapi para penyumbang terus memberikan sumbangan walaupun ada pengumuman bahawa sasaran tersebut telah dicapai.

Parti itu mengatakan lebihan dana itu akan digunakan untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Walaupun selepas mengumumkan yang kami telah berjaya mengumpul RM2.9 juta setakat pada hari Selasa dan jumlah bayaran ikat jamin ditetapkan pada jumlah RM1.1 juta, rakyat Malaysia terus menyumbangkan kepada kempen ini.

"Jelas sekali yang rakyat Malaysia menyokong bukan sahaja perjuangan untuk melawan dakwaan yang dibuat-buat terhadap Lim Guan Eng, tetapi juga perbuatan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan meminta rasuah dan menerima sogokoan berhubung dengan projek berkaitan negeri ketika dia menjadi ketua menteri Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2018, termasuk berkaitan cadangan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

"Lim Guan Eng telah menyatakan yang beliau tidak bersalah memandangkan kontrak pembinaan terowong itu telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melalui satu operasi tender terbuka antarabangsa dan kemudiannya dicadangkan oleh penjawat awam kanan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

"Tambahan lagi, tidak ada satu sen pun wang yang telah dibayar untuk projek terowong ini memandangkan ianya dijadualkan untuk bermula hanya selepas tahun 2023, selepas semua syarat-syarat berkenaan telah diluluskan," kata Pua.

Pua berkata, DAP berterima kasih atas sumbangan besar dari "ratusan ribu" penyokong.

"Sambutan yang luar biasa ini telah menyalakan semula api perjuangan untuk terus berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik, dengan menyedari yang sekatan politik yang berlaku sekarang ini hanyalah sesuatu yang sementara dan kami akan kembali lebih kuat dan lebih baik dengan sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia," katanya.

Kempen kutipan derma "RM10 seorang" itu dilancarkan pada 8 Ogos dan berakhir pada tengah malam semalam.