Besan Najib dinamakan suspek kes rasuah berkait buruan Indonesia
Besan kepada bekas perdana menteri Najib Razak telah dinamakan sebagai suspek kes rasuah berkaitan dengan siasatan yang sedang dilakukan oleh polis Indonesia berikutan penangkapan salah seorang buruan yang dikehendaki, Djoko Tjandra, di Kuala Lumpur bulan lalu.
Jurucakap polis pusat Indonesia Argo Yuwono dilaporkan mengenal pasti suspek sebagai "TS", yang merupakan singkatan bagi nama hartawan Tommy Sumardi.
Tommy dituduh memberi rasuah kepada dua pegawai kanan polis untuk memudahkan penghapusan notis merah Interpol terhadap Djoko dan membantu perjalanannya. Dua pegawai kanan polis itu kemudian digugurkan daripada jawatan mereka kerana disyaki menerima rasuah.
Identiti suspek dan hubungan keluarga dengan Najib kemudiannya didedahkan oleh penyelaras Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia (Maki) Boyamin Saiman, menurut portal dalam talian Detik.com.
Ketika dihubungi, Boyamin mendakwa Tommy ialah orang yang rapat dengan Djoko dan Setya Novanto, bekas speaker parlimen Indonesia yang kini menjalani hukuman penjara 15 tahun setelah disabitkan dalam skandal rasuah perolehan kerajaan.
"Dia (Tommy) mengikuti hubungan perniagaan Djoko," kata Boyamin kepada Malaysiakini.
Dia menyebut contoh pembinaan menara 1MDB yang diberi nama Signature The Exchange 106 di Tun Razak Exchange oleh Kumpulan Mulia Indonesia di bawah kendalian saudara Djoko, Eka Tjandranegara sebagai presiden merangkap pengarah dan pemiliknya.
Sewaktu Djoko menjadi berita utama di sini pada tahun 2015 mengenai kaitan dengan rancangan pembinaan bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia, Najib ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan.
Boyamin mendakwa apa yang bermula sebagai hubungan perniagaan yang melibatkan Djoko, Tommy dan Najib secara beransur-ansur menjadi lebih peribadi.
Dikatakan hal ini membawa kepada pertemuan anak perempuan Tommy, Fitri Aprinasari Utami dan anak Najib, Mohd Nazifuddin, yang akhirnya melangsungkan perkahwinan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Julai lalu.
Permintaan bekas AG M'sia
"Pasangan itu bertunang pada Mei tahun lalu, tetapi Najib tidak dapat menghadiri majlis di Jakarta kerana larangan perjalanannya," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Najib untuk mendapatkan penjelasan beliau.
Menjawab pertanyaan yang diajukan mengenai amaran merah Interpol terhadap Djoko, Mulia Group pada tahun 2015 berkata Djoko tidak lagi memegang sebarang jawatan atau saham dalam kumpulan itu walaupun Boyamin menegaskan hari ini bahawa pengumuman itu hanyalah "penyamaran" untuk menghindari pertanyaan daripada pihak berkuasa.
"Itu hanya penyamaran. Djoko Tjandra ialah pemilik yang mendapat manfaat (beneficial owner)," katanya.
"Tommy masih belum ditangkap. Dia hanya akan dipanggil minggu depan.
"Di Indonesia, siasatan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum seorang suspek (yang dinamakan) ditangkap, tidak seperti di Malaysia," jelas Boyamin ketika disoal mengenai status Tommy sekarang.
Dia berkata polis pusat Indonesia diharapkan akan memanggil Tommy sekitar minggu depan.
Dakwaan kaitan Djoko di Malaysia sebelumnya ditimbulkan oleh bekas peguam negara Indonesia, HM Prasetyo, yang mendakwa bahawa peguam negara Malaysia ketika itu, Apandi Ali, pada tahun 2016 telah membuat permintaan peribadi baginya untuk mempertimbangkan supaya menggugurkan sabitan terhadap hartawan berusia 68 tahun itu dan membenarkannya kembali sebagai seorang bebas.
Polis Malaysia setakat ini tidak mengeluarkan sebarang perincian mengenai penangkapan Djoko (gambar, atas) pada 30 Julai, walaupun rakan sejawat mereka dari Indonesia dilaporkan telah mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak berkuasa negara.
Dia diserahkan kepada sepasukan polis Indonesia dan diterbangkan kembali ke Jakarta dengan jet peribadi sewa dari lapangan terbang Subang.
Menteri Koordinator Politik, Perundangan, dan Keselamatan Indonesia Mahfud MD sebelumnya mendedahkan operasi rahsia itu dilakukan atas kerjasama "polis dengan polis" antara Polri dan PDRM di bawah arahan langsung dari Presiden Joko Widodo.
Djoko Tjandra melarikan diri dari Indonesia ke Papua New Guinea pada tahun 2009, sehari sebelum Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda 15 juta rupiah berikutan sabitannya dalam kes rasuah Bank Bali.
Dia kini menjalani hukuman penjara dua tahun dan dijangka diadili atas tuduhan rasuah tambahan berkaitan dengan siasatan dana haram yang sedang berlangsung.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai