Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PRK Slim kemuka visi masing-masing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketiga-tiga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mengemukakan visi masing-masing yang akan dibawa dalam kempen mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz, 43, berkata beliau akan meneruskan perjuangan Allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib, yang menang kerusi berkenaan dan memberi khidmat kepada rakyat di kawasan itu sebelum ini.

"Saya akan meneruskan perjuangan Allahyarham dari segi pembangunan, pendidikan, perumahan dan kebajikan rakyat terutamanya di kawasan Felda dan kampung-kampung," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon PRK DUN Slim di Tanjung Malim, Perak hari ini.

Mohd Zaidi berkata beliau akan mengamalkan kempen secara sihat dan akan bekerjasama rapat dengan parti PAS dan Bersatu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional.

Calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar secara rasmi pula mahu menekankan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam masyarakat dan membanteras salah laku dalam kempennya.

“Contohnya kami menolak rasuah, perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan selaras nilai-nilai murni terutamanya bangsa Melayu,” katanya.

Peguam itu berkata para pengundi juga perlu melihat kepada kredibiliti calon yang boleh membawa aspirasi mereka.

Dalam pada itu, seorang lagi calon Bebas, S. Santharasekaran, 44, berkata keputusan bertanding sebagai calon pada PRK itu antaranya bagi merealisasi cita-citanya untuk menjadi ahli politik.

Katanya, beliau menamatkan perkhidmatan sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 pada 14 Ogos lalu bagi tujuan itu.

Santharasekaran yang berasal dari Behrang Ulu turut menafikan beliau bertanding untuk memecahkan bilangan undi, sebaliknya sebagai bekas pendidik dan aktivis alam sekitar, beliau mahu memperjuangkan isu pendidikan dan penjagaan alam sekitar.

- Bernama