Wee: K'jaan siap sedia pergerakan rentas sempadan M'sia-Singapura
Kerajaan sudah bersiap sepenuhnya bagi pergerakan rentas sempadan antara Malaysia-Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), mulai esok.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata Wisma Putra dan pihak berkuasa Singapura telah melakukan perbincangan teliti sebelum mencapai persetujuan pembukaan sempadan.
Beliau berkata dari segi pengangkutan awam, pihaknya akan merujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sama ada terdapat keperluan untuk menyediakan perkhidmatan tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“APAD akan memantau. Kita dalam satu kerajaan (Malaysia-Singapura) memang saling berhubung satu sama lain. Jika, ada keperluan (terhadap pengangkutan awam), kita akan buka. Kita sedar bukan semua orang ada kereta.
“Kalau pengangkutan awam beroperasi, ia akan melibatkan kos, kalau tiada orang yang dibawa (oleh pengangkutan awam), ia akan rugi. Jadi, mesti ada percaturan, perancangan rapi supaya apa yang dilakukan menguntungkan,” katanya.
Wee yang juga Presiden MCA berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Grisek, di Kota Masai di sini hari ini, yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon.
Pada 26 Julai lepas, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatan dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan bertemu di atas Tambak Johor.
Ia sebagai simbolik menandakan persetujuan pembukaan sempadan kedua-dua negara dijangka bermula 17 Ogos, selepas kedua-dua negara menutup sempadan masing-masing bagi mengekang penularan COVID-19, bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia pada 18 Mac lepas.
RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.
Sementara itu, mengenai SJKC Ladang Grisek yang dipindahkan dari Tangkak itu, Wee berkata ia dibina dalam tempoh dua tahun sebelum beroperasi sepenuhnya pada Mac lepas.
Sekolah tersebut katanya memiliki 405 murid dan 23 guru yang dilengkapi 30 bilik darjah, dewan serba guna, kantin, makmal, padang, perpustakaan, bilik komputer serta bilik muzik.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai