Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Rumah ibadat bukan Islam di Kedah diminta ikut SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Semua rumah ibadat bukan Islam di Kedah diminta supaya turut akur dan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan sebarang upacara keagamaan, bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Negeri Dr Robert Ling Kui Ee berkata semua upacara sama ada di kuil atau tokong, perlu mengikut SOP dan pihak berkuasa akan bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau rumah ibadat yang ingkar arahan.

"Kerajaan negeri memberikan perhatian serius terhadap operasi rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, dan pemantauan berterusan terhadap 65 rumah ibadat berdaftar di negeri ini akan terus dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Pelbagai kluster COVID-19 seperti kluster Sivagangga, kluster Tawar dan kluster Sala di negeri ini amat menggerunkan kita semua," katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sekali lagi menyeru rakyat agar terus mengamalkan SOP ditetapkan dalam aktiviti harian mereka dan mengutamakan penjagaan kesihatan kendiri dengan amalan-amalan norma baharu kehidupan berkualiti.

- Bernama