Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak tempatan kelebihan calon BN - Hisham

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK SLIM | BN terus menjadikan isu calon tempatan sebagai modal kempen politik mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim.

Terbaru, Ahli Parlimen Sembrong Hishamuddin Hussein berkata, calon BN Mohd Zaidi Aziz mempunyai kelebihan kerana merupakan anak tempatan.

"Pilihan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi BN untuk meletakkan Mohd Zaidi sebagai calon BN merupakan keputusan yang tepat. Kelebihan yang ada pada Mohd Zaidi ialah beliau anak tempatan Slim," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hishammuddin berkata, Mohd Zaidi memahami kehendak dan keperluan pengundi selain telah lama bekerjasama dengan Adun sebelum ini, Allahyarham Khusairi Abdul Talib.

"Jadi, pengalaman yang ada pada beliau akan sangat membantu dalam mengangkat suara rakyat Slim sekiranya dipilih menjadi Adun Slim.

"Atas dasar itu, hari ini saya sendiri turun untuk meyakinkan pengundi Slim bahawa tiada calon lain yang lebih layak memimpin Slim selain Mohd Zaidi," kata menteri luar itu lagi.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno, termasuk Najib Razak menggesa pengundi menolak calon Bebas, Khusairi Mohamad Tanusi yang disokong parti baru Dr Mahathir Mohamad, parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Amir yang merupakan lepasan undang-undang UIA berasal dari Teluk Intan.

Bagaimanapun, Amir sebelum ini menepis tanggapan itu dengan mengatakan kredibiliti seseorang calon lebih penting dalam memilih Adun Slim.

Zaidi sendiri tidak tinggal di Dun berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jentera Pejuang PRK Slim, Marzuki Yahya menegaskan isu calon tempatan tidak seharusnya dibangkitkan.

"Amir Khusairi adalah anak muda dan juga keluarganya menetap kawasan di sini dan saya melihat ini satu perkara yang tidak seharusnya dibangkitkan.

"Saya difahamkan juga calon BN bukanlah orang setempat dan juga menginap di sini (Slim)," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama parti Pejuang.

Tambahnya, apa yang perlu bagi pengundi Slim adalah memilih calon yang boleh membela masyarakat di kawasan berkenaan.

Difahamkan, Mohd Zaidi tinggal di Behrang iaitu satu lagi kawasan Dun di bawah kawasan parlimen Tanjung Malim.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. 

Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.