Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon Pejuang minta penyokong tak risau kempen bermula perlahan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK SLIM | Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi meminta penyokongnya tidak risau dengan dakwaan bahawa jentera pihaknya masih perlahan berbanding dengan Barisan Nasional (BN).

Untuk rekod, walaupun bertanding sebagai calon Bebas, Amir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad tetapi belum didaftarkan.

"Sudah dua hari kita berkempen. Saya percaya masih ada di kalangan kita (melihat) bahawa kita perlahan (kempen).

"Saya tahu mungkin tuan-tuan jauh di sudut di sanubari risau, rasa (kempen) kita tak jalan lagi.

"Saya menyeru penyokong-penyokong supaya jangan khuatir, jangan risau yeop," katanya di majlis ramah mesra bersama penduduk Trolak Utara, di Slim River, malam tadi.

Ia susulan beberapa laporan sebelum ini mengatakan bahawa BN sedang mendahului dalam kempen PRK Slim ini.

Tambah Amir yang merupakan peguam syarie, jentera yang akan membantu kempennya masih mempunyai masa yang cukup untuk menyusun gerak kerja.

"Jangan takut kita baru masuk hari kedua kempen. Kita teruskan lagi gerak kerja, kita susunkan lagi betul-betul langkahnya.

"Walau apa pun, kita kena ingat kita yakin bahawa Allah subhanahu wa ta'ala akan mengerakkan hati kita, dan kalau yakin bahawa berjuang ini sentiasa berniat untuk memperbetulkan niatnya setiap hari.

"Jika kita tolong jalan-jalan Allah, Insya-Allah Allah akan tolong kita dan perkuatkan semangat kita," katanya ketika berucap di hadapan lebih 50 hadirin.

Trolak Utara merupakan salah satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Slim yang terdiri daripada kawasan perumahan Felda. Ia mempunyai 2645 pengundi.

Pada PRK kali ini, Amir, 38, bertanding menggunakan lambang pokok.

Amir berdepan calon BN Mohd Zaidi Aziz dan seorang lagi calon Bebas Santharasekaran Subramaniam, yang merupakan ahli akademik dan menggunakan lambang buku.

Kempen hari kedua menyaksikan Amir lebih memberi tumpuan di bandar dan separa bandar, sementara Zaidi berkempen di kawasan Felda yang merupakan kubu kuat Umno.

Subramanian setakat ini tidak kelihatan turun berkempen.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.