Skip to main
Logo Malaysiakini

Annuar: Parti dalam PN akan saling membantu dalam PRU15

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan BN akan membantu antara satu sama lain pada PRU15, kata setiausha agung BN Annuar Musa.

Annuar berkata demikian susulan kenyataan Ketua Umno Gombak Megat Zulkarnain Omardin bahawa calon PRU15 untuk kerusi Parlimen dan DUN di situ perlu mendapat persetujuan "Muafakat Nasional yang asal", iaitu Umno dan PAS.

Megat Zulkarnain berkata ketetapan itu telah dicapai bersama PAS Gombak.

Bagaimanapun bagi Annuar, parti-parti yang membentuk gabungan pemerintah akan bekerjasama dalam menghadapi PRU akan datang.

"Parti- parti dalam PN, MN dan BN akan membantu satu sama lain mempertahankan 114 tambah lima kerusi yang kita menangi pada PRU14 dan menggembleng tenaga untuk tawan kerusi-kerusi yang ada pada PH, insya-Allah," katanya dalam satu hantaran di Twitter, semalam.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata demikian ketika membalas ciapan Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang berkongsi pautan laporan berita Malaysiakini mengenai kenyataan Megat Zulkarnain.

Dalam satu ciapan berasingan, Annuar berkata calon pilihan raya tertakluk kepada peraturan dan dasar parti dan soal itu perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan yang berautoriti.

Justeru sebarang kenyataan yang berbeza dengannya hanyalah pandangan peribadi, katanya dalam ciapan yang turut melampirkan laporan Malaysiakini berkenaan perkara itu.

Dalam laporan tersebut, Megat Zulkarnain turut berkata keputusan yang dicapai dengan PAS Gombak itu akan dipertahankan menjelang PRU15 nanti.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, dia jelas menyasarkan Anggota Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali apabila mengatakan pihaknya "tidak meraikan sangat" pihak yang melompat parti, merujuk kepada tindakannya dan sembilan lagi anggota Parlimen yang keluar PKR ketika "Langkah Sheraton" pada akhir Februari lalu.

Sebelum ini, hubungan antara MN Gombak dengan Azmin sedia tegang apabila menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu didakwa meminggirkan Umno dan PAS Selangor dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg).

Azmin dijangka bertanding di bawah Bersatu pada PRU akan datang.

Dengan kemasukan Bersatu dalam MN, ada kemungkinan BN dan PAS di Gombak perlu memberi laluan kepada menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu untuk mempertahankan kerusinya.