Skip to main
Logo Malaysiakini

Setiausaha Bersatu Johor nafi khabar angin 3 Adun lompat parti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri menafikan khabar angin bahawa tiga Adun Bersatu di negeri itu akan keluar parti.

Solihan menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan berniat jahat untuk memporak-perandakan kerajaan negeri di bawah Pakatan Nasional (PN).

"Tidak ada mana-mana Adun Bersatu di Johor yang keluar parti untuk menyertai pembangkang. 

"Saya minta semua pihak terutama ahli Bersatu supaya jangan percaya khabar angin yang hanya mahu melemahkan kita," katanya kepada pemberita seperti dipetik Sinar Harian.

Menteri Besar Johor yang juga pengerusi Umno negeri, Hasni Mohamad kini mengetuai kerajaan negeri dengan hanya memiliki dua majoriti.

Ini boleh menyebabkan risiko Dun menjadi tergantung sekiranya terdapat mana-mana Adun dari kerajaan negeri melompat parti.

Mohd Solihan yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor berkata, dia bertemu Hasni pagi tadi untuk bersarapan bersama.

Katanya, ia merupakan rutin setiap pagi Isnin untuk semua exco kerajaan negeri bersarapan bersama-sama menteri besar.

"Bagaimanapun Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor tidak dapat bersama pagi tadi kerana mempunyai urusan rasmi lain," katanya pada sidang akhbar pembukaan rasmi sempadan Malaysia-Singapura hari ini di Johor Bahru.

Sabtu lalu, kesemua 11 Adun Bersatu Johor menghadiri pertemuan tertutup bersama Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Adun daripada Umno dan Pas di sebuah hotel di Johor Bahru.

Pertemuan tertutup itu dikatakan membincangkan kerjasama politik dan kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN).

Sementara itu, The Star melaporkan Solihan sebagai berkata parti itu tiada masalah untuk mencari pengganti susulan keputusan ketua bahagian Pagoh Bersatu, Abd Wahab Ibrahim keluar daripada parti itu.