Skip to main
Logo Malaysiakini

Bank tak maklumkan Najib transaksi mencurigakan, kata peguam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh pasukan peguam Najib Razak bahawa bekas perdana menteri itu tidak menyedari transaksi mencurigakan dalam akaun banknya kerana mendakwa AmBank tidak memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.

Peguam Najib, Harvinderjit Singh berpendapat AmBank bahkan tidak memberitahu mengenai transaksi mencurigakan dalam akaunnya, walaupun bank itu dikatakan didenda oleh Bank Negara kerana tidak memberikan tanda amaran terhadap urus niaga yang mencurigakan itu.

Harvinderjit berkata, isu ini boleh dihujahkan pada perbicaraan penuh kes saman Najib terhadap AmBank dan bekas pengurus perhubungannya, Joanna Yu, serta tidak sesuai diputuskan ketika mendengar permohonan untuk membatalkan saman berkenaan.

Hari ini ditetapkan bagi mendengar permohonan Yu dan AmBank membatalkan saman Najib.

Pada 10 Disember tahun lalu, Najib dilaporkan memfailkan saman terhadap Yu dan bank tersebut kerana didakwa mengambil arahan daripada Low Taek Jho atau Jho Low dan mendedahkan maklumat akaun kepada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB itu.

Pada 29 Januari Yu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib. Tiga bulan kemudian, AmBank mengemukakan permohonan yang sama.

Semasa berhujah di hadapan Hakim, Khadijah Idrus petang ini, Harvinderjit mensasarkan hujah peguam AmBank, Yoong Sin Min agar permohonan pembatalan saman berkenaan dibenarkan.

Terdahulu Yoong hari ini memberitahu mahkamah bahawa saman Najib harus dibatalkan kerana ia merupakan satu bentuk collateral attack yang menggunakan mahkamah sivil, terhadap kes jenayah Najib yang menghadapi tuduhan pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Pada 28 Julai, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib berhubung kes SRC International.

Harvinderjit hari ini berpendapat bahawa saman Najib harus dibenarkan pada perbicaraan penuh oleh Mahkamah Tinggi, kerana terdapat isu bahawa AmBank didakwa tidak memberitahu plaintif (Najib) bahawa akaunnya menjadi sasaran transaksi mencurigakan.

Peguam tersebut mendakwa bank itu dikatakan tidak memberitahu Najib mengenai dakwaan urus niaga tersebut dan bahawa plaintif hanya mengetahuinya semasa perbicaraan kes SRC International tahun lalu.

“AmBank telah didapati bersalah (oleh Bank Negara) kerana tidak melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun plaintif.

"Kami tidak tahu. Ambank tidak mendedahkan kepada kami. Pihak berkuasa tidak memberitahu kami sehingga prosiding SRC,”kata Harvinderjit.

Peguam itu mendakwa akibat Najib tidak diberitahu oleh AmBank mengenai urus niaga mencurigakan dalam akaun banknya, Najib tidak membangkitkan masalah itu kepada bank berkenaan atau membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Harvinderjit merujuk kepada keterangan Yu sebagai saksi pendakwaan ke-54 semasa perbicaraan Najib tahun lalu.

Sepanjang perbicaraan SRC tahun lalu, Yu antara lain memberi keterangan bahawa Ambank memintanya untuk meletakkan jawatan sebagai pengurus perhubungan pada tahun 2015, berikutan serbuan Bank Negara terhadap bank berkenaan pada 6 Julai 2015.

Yu memberi keterangan bahawa dia membaca akhbar bahawa Ambank didenda kerana didakwa gagal memfailkan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) dengan Bank Negara dan diminta melepaskan jawatan.

Sementara itu semasa prosiding hari ini, Khadijah tidak membenarkan permohonan Harvinderjit untuk menangguhkan perbicaraan.

Harvinderjit meminta penangguhan itu dengan alasan pasukan pembelaan Najib memerlukan masa untuk membalas afidavit yang difailkan oleh Yu dan pasukan pembelaan AmBank untuk menyokong permohonan pembatalan.

Peguam memberitahu mahkamah hari ini bahawa penangguhan itu perlu kerana afidavit dua defendan merujuk kepada beberapa keputusan Mahkamah Tinggi yang berasingan terhadap Najib dalam perbicaraan SRC International.

Prosiding di hadapan Khadijah akan disambung sekitar jam 2 petang esok bagi peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan hujah balas terhadap permohonan pembatalan berkenaan.