Skip to main
Logo Malaysiakini

MD Jepak tandatangani 'rundingan' RM50j untuk dapat sokongan Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES ROSMAH | Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Jepak Holdings Sdn Bhd menawarkan setiausaha Umno bahagian Pekan, Ahmad Aazmey Abu Talib sebanyak RM50 juta sebagai "yuran perundingan" untuk membantu syarikat itu memperoleh projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Rosmah Mansor, Akberdin Abdul Kader, pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin berkata, tawaran 4 peratus daripada jumlah nilai projek dibuat dalam perjanjian yang ditandatangani dengan Aazmey pada 19 Julai 2016.

"Pendek kata, kamu setuju untuk berikan (Aazmey) RM50 juta dan jika projek itu dilanjutkan hingga tahun keenam, akan ada tambahan dua peratus dari jumlah kos penyelenggaraan," kata Akberdin dan dijawab "Ya" oleh Saidi.

Akberdin menunjukkan perjanjian itu di mahkamah dan Saidi mengesahkannya sebagai tulen.

Saidi juga bersetuju bahawa dia telah membuat beberapa siri pembayaran kepada Aazmey sepanjang tahun 2017 daripada RM50 juta berkenaan, walaupun mengaku tidak mengingati jumlah tepat yang dibayar bagi setiap transaksi.

"Kalau saya periksa rekod transaksi mungkin saya ingat," katanya.

Akberdin, antara lain, mencadangkan bahawa Saidi telah membuat pembayaran tunai awal sebanyak RM450,000 kepada Aazmey di sebuah hotel di Kuantan; RM500,000 dibayar di Sunway Putra Mall; dan RM250,000 di sebuah coffee house di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Akberdin bertanya lagi apakah jumlah tersebut merupakan bayaran progresif daripada perjanjian yang ditandatangani tetapi Saidi menggambarkan jumlah itu sebagai "usaha derma banjir".

Dia sebelumnya memberi keterangan bahawa Aazmey telah memainkan peranan penting untuk membantu Jepak memperoleh kontrak dengan mendapatkan 11 "minit" atau nota sokongan dan surat iringan daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Akberdin berkata ini termasuk cadangan Najib agar Jepak dianugerahkan projek tersebut melalui rundingan langsung dan Kementerian Pendidikan untuk mengeluarkannya dengan surat penerimaan (LOA).

"Semua itu atas inisiatif dan bantuan daripada Aazmey," saran Akberdin, yang dipersetujui oleh Saidi.

Saidi juga mengakui dia disiasat dan ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembayaran kepada Aazmey.

Prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pagi esok.

Rosmah menghadapi tiga tuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana untuk pembekalan dan pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion yang diperoleh melalui rundingan langsung dengan kementerian berkenaan.