Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara MP Baling ditangguh, Azeez diperlukan di parlimen

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Abdul Latif hari ini ditangguhkan ke esok.

Ini kerana ahli parlimen Umno itu harus hadir di Parlimen untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap rakyat Malaysia.

Peguam Abdul Azeez, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan hal ini kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini semasa permohonan penangguhan perbicaraan.

Hari ini ditetapkan sebagai hari pertama perbicaraan rasuah Abdul Azeez dan Abdul Latif.

"Kami mengajukan permohonan agar kes (perbicaraan) dimulai esok (bukan hari ini) kerana tertuduh (Abdul Azeez) harus hadir di Parlimen untuk (perbahasan dan pengundian) rang undang-undang kerajaan berhubung koronavirus pada pukul 11 pagi.

"Wajib bagi semua anggota parlimen kerajaan untuk menghadiri Parlimen pagi ini," kata Hisyam kepada Hakim Azura Alwi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Aslinda Ahad kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak keberatan terhadap permohonan penangguhan tersebut.

RUU yang dimaksudkan adalah RUU Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangi Kesan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) 2020, yang elah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 12 Ogos.

Peguam bersama Azeez, M Athimulan menambah bahawa sebab kedua pihak pembelaan meminta permohonan penangguhan adalah kerana mereka hanya diserahkan dengan keterangan saksi pendakwaan minggu lalu.

Athimulan mengatakan bahawa pasukan pembelaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti keterangan saksi sebelum perbicaraan bermula.

Di bawah undang-undang Malaysia, keterangan saksi pendakwaan perlu diserahkan kepada pasukan pembelaan tertuduh 14 hari sebelum perbicaraan.

Azura kemudian membenarkan perbicaraan ditangguhkan ke esok pagi.

Hakim juga mengarahkan pihak pendakwaan untuk memastikan kesemua sembilan saksi pendakwaan siap memberi keterangan esok.

Peguam Fudhail Zulaini hadir mewakili Abdul Latif hari ini.

Pada 16 Januari tahun lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta untuk projek jalan raya di Perak dan Kedah, dan sembilan tuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Pada hari yang sama, Abdul Latif didakwa dengan dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez untuk melakukan kesalahan rasuah.