Skip to main
Logo Malaysiakini

Speaker: Tidak ada yang bantah henti 10 minit minggu lalu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mempertahankan tindakannya apabila dia  meninggalkan persidangan selepas menghentikan mesyuarat Dewan Rakyat selama 10 minit sebelum pengundian belah bahagian mengenai Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020, dilakukan semalam.

Azhar berkata pada 11 Ogos lalu, dia  telah memasyhurkan untuk memberi masa secukupnya kepada ahli parlimen untuk hadir ke Dewan Rakyat ketika proses undi belah bahagian dijalankan.

“Bila saya mahsyurkan minggu lepas saya tidak dapat apa-apa maklumbalas negatif dari mana-mana ahli parlimen,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Pengumuman Azhar mengenai henti waktu 10 minit itu boleh dibaca pada halaman 47 dan 48 Hansard bertarikh 11 Ogos.

Speaker itu mengulangi hari ini, bahawa henti waktu 10 minit setelah loceng dibunyikan selama dua minit, adalah untuk membolehkan ahli parlimen berjalan dari blok pejabat ahli parlimen, ke Dewan Rakyat. Jarak di antara blok parlimen dan blok pentadbiran adalah sekitar satu minit berjalan kaki dari pintu masuk masing-masing.

Henti waktu 10 minit itu, katanya mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) Covid-19seperti penjarakan sosial  dan kemudahan lif yang hanya dihad kepada lima orang pada satu masa tertentu, dan bukannya 15 orang.

“Semalam bila saya cuba terangkan, suara saya ditenggalami lautan keghairahan ahli-ahli Yang Berhormat yang mahu ambil bahagian dalam (pengundian) belah bahagi.

“Oleh itu, saya harap tak timbul lagi kekeliruan seperti ini,” katanya selepas sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 berjaya diluluskan di peringkat dasar semalam.

Ia bagi menguntukkan semula sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan berikutan pembentukan kabinet baru kerajaan Perikatan Nasional pada 10 Mac lalu dengan beberapa kementerian telah disusun dan dinamakan semula.

Sebelum proses undian berlangsung, Azhar menghentikan mesyuarat Dewan Rakyat itu selama 10 minit dan meninggalkan dewan sehingga mengundang rasa tidak puas hati ahli parlimen di blok pembangkang yang mempersoalkan tindakannya.

Ada yang menyoal dan ingin tahu jika ini dilakukan kerana jumlah anggota parlimen kerajaan di Dewan Rakyat tidak mencukupi.

RUU itu kemudian diluluskan dengan sokongan 111 anggota parlimen manakala 106 yang lain memilih untuk menentangnya. Lima lagi tidak hadir.

[Baca berita penuh]