Skip to main
Logo Malaysiakini

Harta milik anggota polis Sungai Buloh diteliti JIPS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Harta dan aset anggota polis yang berkhidmat di daerah Sungai Buloh, Selangor, sedang disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran kegemparan yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Zamri Yahya, berkata rekod kerja dan pengisytiharan harta kakitangan di situ sedang diteliti dengan tumpuan diberikan kepada anggota yang terbabit dalam kegiatan membanteras judi tanpa lesen.

Katanya antara aspek yang sedang diteliti pada dokumen berkaitan ialah pemilikan harta mereka, sama ada bersesuaian dengan pendapatan yang diperoleh atau berlebihan.

“Ini bagi memastikan mereka hidup atau menjalankan tugas selaras dengan peraturan PDRM,” katanya seperti dipetik portal Utusan Malaysia hari ini.

Namun, Zamri menambah proses itu bakal memakan masa yang panjang susulan lambakan dokumen yang perlu diperiksa oleh JIPS.

Nama Sungai Buloh tiba-tiba menjadi perhatian ramai apabila seorang peniaga membuat siaran langsung di Facebook mengenai kegiatan judi tanpa lesen dan perniagaan membabitkan warga asing di satu kawasan dalam daerah itu.

Lelaki terbabit, Mohd Asri Hamid, berang apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) didakwa hanya mengambil tindakan ke atas gerai burgernya - yang beroperasi tanpa lesen - namun membiarkan perniagaan lain berjalan seperti biasa.

Gambar fail

Dakwaan itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Susulan pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama JIPS bagi menyiasat dakwaan tersebut.

MBSA pula mendakwa sebelum ini Mohd Asri ada ditawarkan tapak perniagaan sementara namun ditolak.

Zamri menjelaskan, hasil siasatan JIPS ke atas rekod serbuan yang dilakukan pada 2019, polis di Sungai Buloh melakukan operasi secara berterusan bagi membanteran kegiatan tersebut.

“Setakat ini, apa yang kita dapati untuk tahun lepas hampir 100 serbuan dijalankan dan ini menunjukkan tindakan secara berterusan bagi mengekang isu terbabit telah diambil.

“Namun pihak JIPS sedang dalam proses memperincikan secara lebih mendalam tindakan susulan seperti pendakwaan diambil serta berapa kes dituduh di mahkamah,” tambahnya.