Skip to main
Logo Malaysiakini

Asri Janggut harap MBSA tak simpan dendam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tidak mahu ada dendam dengan mana-mana pihak termasuk dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pengasas rangkaian burger Mohd Asri Hamid menyatakan kesediaannya untuk berdamai.

Malah individu yang dikenali sebagai Asri Janggut itu juga bersedia memohon maaf kepada pihak MBSA.

"Memang ada perancangan saya untuk berjumpa dengan MBSA, saya juga ada membuat kesilapan yang mungkin boleh menyinggung banyak pihak.

"Saya tidak mahu ada pihak yang menyimpan dendam dan bergaduh mengenai isu ini," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kontroversi susulan memuat naik dua video siaran langsung di Facebook yang mendedahkan masih wujud premis perjudian aktif dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh yang masih beroperasi tanpa sebarang tindakan, baru-baru ini.

Tindakannya itu sekali gus menggemparkan banyak pihak termasuk membawa kepada penahanan beberapa kakitangan MBSA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu Asri berkata, dia juga sedia untuk memperbaiki diri dan membetulkan seberang kesilapan yang dibuat.

"Kita sama-sama betulkan, sama-sama perbaiki dan sama-sama buat baik untuk negara.

"Selama ini, penjaja kecil tidak diberi perhatian dan hikmahnya kini ia adalah untuk permudahkan urusan semua pihak," katanya dipetik sebagai berkata.