Sumbangan politik ditawarkan sebagai 'hargai' bantuan Najib
KES ROSMAH l Sumbangan politik yang ditawarkan berkaitan dengan projek solar hibrid sekolah bernilai RM1.25 bilion dicadangkan sebagai menghargai bantuan perdana menteri ketika itu, Najib Razak kepada Jepak Holdings, kata bekas pengarah urusan syarikat itu, Saidi Abang Samsudin.
Saidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa memandangkan Najib sentiasa sibuk, dia berhasrat untuk menyalurkan sumbangan politik yang bertujuan untuk kestabilan politik Umno-BN, melalui Rosmah Mansor.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Rosmah, Akberdin Abdul Kader, Saidi mengesahkan dia telah bertemu dengan pembantu Rosmah, Rizal Mansor, dan menyatakan niatnya untuk memberi sumbangan itu.
Saidi juga berkata bahawa Rizal, ketika ditanya, mencadangkan jumlah antara 10 dan 15 peratus daripada nilai projek.
"Itu idea saya (untuk memberikan sumbangan politik) bersama Rayyan, dan dipersetujui oleh Rizal," kata Saidi, merujuk kepada bekas rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah, saksi pendakwaan ke-16 dalam perbicaraan rasuah Rosmah.
Ditanya adakah dia masih ingat ada memberitahu Rizal bahawa dirinya merasa terhutang budi kepada Najib atas sokongan yang diberikan kepada Jepak Holdings, Saidi berkata, "Saya tidak begitu ingat."
Akberdin mencadangkan bahawa sumbangan politik yang dimaksudkan untuk Najib adalah untuk mengukuhkan kantung BN menjelang pilihan raya umum ke-14 tetapi Saidi berkata bahawa dan dia tidak ingati alasan di sebalik pemberian berkenaan.
"Kamu juga beritahu Rizal bahawa kerana perdana menteri sibuk, kamu dan Rayyan berhasrat untuk menderma melalui Rosmah, betul?" tanya Akberdin, yang dijawab Saidi, "Ya, saya berkata demikian."
"Ringkasnya, sebagai penghargaan 'minit' perdana menteri pada 1 Disember 2015, kamu bermaksud untuk memberi sumbangan politik?" tanya Akberdin lagi, dan Saidi menjawab, "Ya, betul".
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berhasrat memberi sumbangan politik kepada Najib Razak sebagai tanda penghargaan berikutan kejayaan syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan (KPM).
Memandangkan Najib merupakan seorang individu yang sibuk, saksi pendakwaan ke-17 itu sebaliknya memutuskan untuk memberi sumbangan berkenaan melalui isteri bekas perdana menteri itu, Rosmah Mansor dan hasrat itu disampaikan kepada bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor.
Saidi, 61, yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah, 68, berhubung projek tenaga solar itu, juga bersetuju dengan peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah, bahawa sumbangan politik tersebut diberikan untuk kestabilan politik Barisan Nasional (BN) dan Umno.
“Sebagai tanda penghargaan atas minit (bekas) perdana menteri pada 1 Dis 2015 yang meluluskan projek solar, kamu ingin buat sumbangan politik itu untuk kestabilan politik BN dan Umno,” kata Akberdin dan saksi itu menjawab “ya, betul.”
“Selepas sampaikan niat kamu kepada Rizal, kamu minta dia aturkan pertemuan dengan Rosmah,” kata Akberdin dan saksi itu menjawab “betul”.
“Selepas itu dan sebelum melawat kediaman perdana menteri, kamu bincang dengan Rizal dan nyatakan hasrat kamu untuk beri 10 peratus sumbangan politik daripada nilai projek solar tersebut,” kata Akberdin dan Saidi menjawab “betul”.
Saksi pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Rosmah yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada beliau (Saidi), menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di Kuala Lumpur; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.
Najib merupakan presiden Umno dan pengerusi BN sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 yang menyaksikan pimpinan kerajaan pusat bertukar tangan kepada Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, Saidi, yang mengesahkan telah meletak jawatan sebagai pengarah urusan Jepak Holdings dan menjual sahamnya di syarikat itu, turut ditanya Akberdin mengenai reaksi Rosmah selepas beliau menyatakan hasratnya untuk memberi sumbangan politik tersebut di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur, antara Januari dan Februari 2016.
Akberdin: Selepas buat tawaran itu (sumbangan politik 10 peratus), Rosmah seperti tergamam sedikit kerana mendapat tawaran 10 peratus daripada orang yang beliau tidak kenal.
Saidi: Tidak, beliau tidak terkejut, macam biasa sahaja.
Akberdin: Ini arahan anak guam saya, selepas kamu luahkan niat kamu untuk beri 10 peratus itu, sebenarnya beliau (Rosmah) sedikit terkejut sebab beliau tidak pernah kenal kamu secara peribadi sebelum ini.
Saidi: Tidak, (Rosmah) macam biasa sahaja.
Akberdin: Selepas tawaran dibuat, Rosmah tidak jawab dan berkata dia terima, dia diam sahaja.
Saidi: Dia hanya ‘hemm’, macam itu.
Akberdin: Rosmah juga tidak buat sebarang tawar-menawar (berhubung sumbangan politik), beliau tidak minta 10 peratus dinaikkan kepada 15 peratus.
Saidi: Betul.
Akberdin: Sebelum ini timbalan pendakwa raya Datuk Seri Gopal Sri Ram ada bertanya bila kamu tawarkan 10 peratus adakah Rosmah tolak serta suruh kamu keluar dan kamu jawab tidak ada, setuju atau tidak Rosmah juga tidak pernah kata beliau “terima” ketika itu.
Saidi: Dia (Rosmah) diam.
Dalam keterangannya sebelum ini, Saidi, yang juga saksi penting pendakwaan ketika membacakan penyataan saksi, berkata beliau telah menyerahkan RM6.5 juta seperti yang telah dijanjikan kepada Rosmah untuk sumbangan politik
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai