Skip to main
Logo Malaysiakini

Selesai masalah secara tertutup, kata KJ pada pemimpin BN Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menasihati pemimpin Umno Sabah supaya tidak membincangkan masalah dalaman secara terbuka.

Kenyataan Khairy hadir susulan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan yang mengkritik pemilihan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin sebagai pengarah pilihan raya Sabah yang akan datang.

Rahman menyuarakan pandangannya itu pada sidang media semalam.

"Saya hargai Rahman ada pandangannya sendiri tetapi kita hanya tinggal sebulan sebelum pilihan raya, jadi ada banyak perkara perlu dilakukan dari segi pembahagian kerusi dengan parti dalam gabungan.

"Lebih baik kita selesaikan masalah berhubung Umno secara tertutup.

"Saya yakin kita akan capai kata sepakat yang diterima semua pihak," kata Khairy menerusi sidang media hari ini.

Khairy yang merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian selepas menghadiri pelancaran National Technology & Innovation Sandbox bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Cyberjaya hari ini.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Bung mempunyai hak autonomi penuh untuk menguruskan pilihan raya terbabit, termasuk memilih ketua menteri sekiranya BN memenangi pilihan raya itu yang dijadual pada 26 Sept ini.

Rahman, yang juga ketua Umno Bahagian Tuaran menyifatkan keputusan tersebut sebagai langkah "bunuh diri".

"Ia langkah bunuh diri.

"Tidak ada parti di dalam dunia akan meletakkan seseorang yang ada kes mahkamah (dan) menghadiri kes-kes mahkamah menjadi pemimpin parti yang akan bertanding pilihan raya," kata Rahman.

Untuk rekod, Bung kini berdepan tiga pertuduhan rasuah yang membabitkan nilai sehingga RM2.8 juta yang didakwa diminta semasa menjadi presiden Felcra.

Rahman juga berkata bahawa dengan meletakkan seseorang yang mempunyai masalah peribadi untuk memimpin kempen tersebut, ia seperti menghina rakyat Sabah .

Jelasnya lagi, pemilihan Bung juga tidak dibincangkan dengan akar umbi di negeri itu sebelum diumumkan.