Skip to main
Logo Malaysiakini

Masih ramai ingkar arahan PKP - 136 dikompaun, 4 direman

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk hari ke-155 dan hari ke-71 ia dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masih ramai lagi individu yang didapati ingkar arahan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga semalam, seramai 136 dikompaun manakala empat lagi direman kerana mengingkari arahan PKP.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (35), tidak memakai pelitup muka (enam), gagal melunaskan bayaran di pusat kuarantin (dua), tidak memakai apron pakai buang (satu) serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (96),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,493 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

Menurutnya, sebanyak 4,981 Pasukan Pematuhan melibatkan 17,401 anggota telah membuat pemantauan di 4,229 pasar raya; 5,473 restoran; 1,747 penjaja; 1,781 kilang; 3,842 bank dan 1,063 pejabat kerajaan.

- Bernama