Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbicaraan kes CBT, ubah wang haram Nasharudin ditangguh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Sesyen Shah Alam membatalkan tiga hari pertama untuk perbicaraan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram melibatkan dana hampir RM4 juta terhadap bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Tarikh tersebut ialah 26 dan 28 Ogos serta 7 September. Sesi 7 September dijadikan sebagai tarikh sebutan berkaitan surat representasi yang dihantar Nasharudin kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Peguam Nasharudin, Mohd Shukri Ahmad Mansor mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Nasharudin menghantar surat tersebut pada 7 Julai lalu.

Mengikut amalan lazim perundangan, surat representasi adalah kaedah yang dicadangkan untuk menyelesaikan suatu kes, seperti menggugurkan pertuduhan atau tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan yang lebih rendah, misalnya.

Hari ini, Shukri berkata Mahkamah Sesyen telah menjadikan tarikh tersebut untuk kemaskini keputusan AGC susulan surat tersebut.

"Keputusan untuk surat representasi belum diberikan. Maka mahkamah mengosongkan (tarikh perbicaraan) 26 dan 28 Ogos untuk menunggu keputusan pihak pendakwaan.

"Mahkamah juga menetapkan 7 September untuk keputusan surat itu," katanya.

Dia berkata, jika surat itu ditolak AGC, perbicaraan akan diteruskan keesokannya, iaitu 8 September.

Nasharuddin dihadapkan tiga pertuduhan penglibatan secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (Amla) 2001.

Dia dituduh menyalurkan hasil daripada kegiatan menyalahi undang-undang berjumlah RM302,069.60 kepada tiga penerima menerusi satu akaun bank milik syarikatnya, Wasatiyah Centre For Peace Sdn Bhd.

Dana itu didakwa merupakan peruntukan Kementerian Kewangan untuk sebuah NGO, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Tiga pertuduhan itu didakwa berlaku pada November dan Disember 2018, iaitu kira-kira empat bulan selepas perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengarahkan penutupan operasi GMM.

Nasharudin merupakan CEO GMM sejak 28 Oktober 2015 hingga 31 Julai 2018.

30 pertuduhan pecah amanah jenayah menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan pula didakwa berlaku antara 2015 hingga 2018, melibatkan dana RM3,721,683.80 yang dikaitkan dengan kedudukan Nasharudin sebagai CEO GMM dan pengerusi Nassar Foundation.

[Baca berita asal]