Skip to main
Logo Malaysiakini

200 ahli Bersatu Kelantan keluar parti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas timbalan pengerusi Bersatu Kelantan Sazmi Miah, mengumumkan 200 ahli Bersatu negeri keluar parti pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Sazmi, yang dipecat dari parti Sabtu lalu, dipetik Bernama berkata kumpulan itu membuat keputusan berkenaan kerana mereka merasakan bahawa parti itu telah menjauhkan diri dari objektif asalnya untuk memerangi kleptokrasi.

"Kami tidak boleh menerima keputusan membawa keluar Bersatu daripada Pakatan Harapan (PH) semata-mata untuk menubuhkan sebuah gabungan kerajaan baharu yang terdiri daripada parti yang kami lawan bermati-matian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya pada sidang media di Kampung Biah, Perol, di Kelantan. 

Antara yang dilaporkan keluar parti hari ini ialah setiausaha Bersatu Kelantan, Anuwar Hamzah dan timbalan ketua Bersatu Bahagian Ketereh, Dr Hanafi Ismail.

Sazmi ialah antara sembilan anggota Bersatu Kelantan yang dipecat baru-baru ini.

Dakwanya lagi, seramai 24,000 daripada 42,000 ahli Bersatu Kelantan akan meninggalkan parti itu dalam masa terdekat untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Sazmi memaklumkan Malaysiakini bahawa 200 yang hadir hari ini mewakili lebih 5,000 yang ahli akar umbi lain yang keluar parti.

"Sebenarnya kita ada senarai lebih 5,000 (ahli akar umbi yang keluar parti) dan 2,000 sahaja dari Pasir Puteh.

"Yang hadir hari ni 200 orang mewakili ahli akar umbi lebih 5,000 itu," katanya.