Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki maut kenderaan terjunam dari parkir tingkat 3

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki berusia 63 tahun maut apabila kereta pacuan empat roda dipandunya merempuh dinding dan terjunam dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Sentul, di Kuala Lumpur hari ini.

Komander Operasi Kanan Timbalan Penguasa Bomba Hafizan Hassan berkata Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 6.18 petang tadi.

Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba Sentul bersama satu jentera dan ambulans ERMS, JBPM dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis 4x4 Toyota Land Cruiser telah terlanggar tembok tempat letak kereta di tingkat tiga dan terjun menjunam ke bawah.

“Mangsa seorang lelaki berumur 63 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

- Bernama