Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan pedagang cadang India naikkan 50% cukai import minyak sawit mentah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan penghancur biji minyak India telah menyeru kerajaan untuk meningkatkan cukai import ke atas minyak makan sebagai sebahagian daripada cadangan bagi membolehkan India membangunkan keupayaan sendiri dalam sektor itu.

Mereka mencadangkan peningkatan duti ke atas minyak sawit mentah (MSM) daripada 37.5 peratus kepada 50 peratus, minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan lain-lain minyak (35 peratus kepada 45 peratus).

Penggunaan tahunan India dijangka meningkat daripada kira-kira 23 juta tan kepada 27.8 juta menjelang 2025, kata Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai.

India yang amat bergantung kepada import minyak masak iaitu sebanyak 70 peratus, membelanjakan sekitar AS$10 bilion setiap tahun bagi memenuhi permintaan pengguna.

Minyak kelapa sawit merangkumi kira-kira 9 juta tan daripada import minyak makan sebanyak 15 juta tan.

SEA sedang melobi kerajaan untuk menambah pengeluaran biji minyak domestik dan meningkatkan halangan terhadap import

Dalam cadangan terbarunya kepada kerajaan, kumpulan perdagangan itu berkata pengimportan minyak makan dari negara jiran di bawah perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asia Selatan harus dikawal ketat dan import minyak yang ditapis wajar dihadkan atau dilarang.

Katanya, India perlu menaikkan pengeluaran biji minyak tempatan daripada 30 juta tan sekarang ini kepada 54 juta tan menjelang 2025 atau bersamaan dengan 18 juta tan minyak, untuk mengurangkan import kepada 10 juta tan minyak.

India mengimport minyak sawit dari Indonesia dan Malaysia, manakala pembekal minyak-minyak lain terdiri daripada Brazil, Argentina, Ukraine dan Rusia.

Negara itu sedang berusaha mengurangkan kebergantungan import termasuk menambah lebih banyak kawasan untuk ditanam sebagai ladang kelapa sawit.

Menurut SEA, terdapat potensi bagi meningkatkan penanaman kelapa sawit kepada 1.9 juta berbanding 300,000 hektar sekarang.

Ia meminta kerajaan untuk mensasarkan tambahan 5 juta hektar kawasan untuk ladang kelapa sawit dalam tempoh lima tahun akan datang.

- Bernama