Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafie: Keputusan mahkamah lindungi institusi TYT

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN SABAH | Ketua menteri sementara, Mohd Shafie Apdal, menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman oleh wakil Umno, Musa Aman, serta 32 Adun lain bagi mencabar pembubaran DUN hujung bulan lalu.

Katanya, keputusan itu mendaulatkan undang-undang serta selari dengan peruntukan perlembagaan negeri dan kepentingan melindungi institusi Tuan Yang Terutama (TYT) yang mempunyai hak membubarkan DUN tanpa sepatutnya dipetikaikan mana-mana pihak.

"Alhamdulillah, kita bersyukur dengan usaha yang dilakukan dan kita menghargai keputusan itu berlandaskan dua perkara iaitu dari sudut undang-undang atau enakmen Sabah, dan kedua, melindungi institusi TYT.

"Hak membubarkan DUN bukan terletak pada mana-mana pihak, ia adalah kuasa mutlak TYT. Kita boleh cadang, minta tetapi beliau yang luluskan.

"Justeru, saya amat menghargai keputusan dibuat pihak kehakiman dalam mendaulatkan undang-undang," katanya seperti dipetik BH Online.

Pagi tadi, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim membuat keputusan menolak permohonan semakan kehakiman oleh 33 Adun itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pada 29 Julai, 33 Adun berkenaan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru dan meminta Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin mengadakan majlis angkat sumpah bagi membentuk kerajaan baru.

Namun, atas nasihat Mohd Shafie, Juhar memutuskan untuk membubarkan DUN sehari kemudian.

Susulan kegagalan menumbangkan kerajaan negeri Sabah yang diketuai Shafie, Musa dan 32 Adun yang menyokongnya memfailkan permohonan itu dengan menamakan Juhar dan presiden Warisan itu sebagai responden pertama dan kedua.

Selain Musa, 32 Adun lain yang terlibat dalam permohonan itu ialah Bolkiah Ismail (Pitas), Julita Mojungki (Matunggong), Anita Baranting (Tandek), Musbah Jamli (Tempasuk), Japlin Akim (Usukan), Jahid Jahim (Tamparuli), Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Joniston Bangkuai (Kiulu), Kenny Chua (Inanam), Ghulam Haider Khan (Kawang), Mohd Ariffin Ariff (Membakut), Isnin Aliasnin (Klias), Limus Jury (Klias), Matbali Musah (Sindumin), Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Masidi Manjun (Karanaan), Abidin Madingkir (Paginanatan), Jeffrey Kitingan (Tambunan), Robert Tawik (Bingkor), Jamawi Jaafar (Kemabong), Ellron Angin (Sook), Bobbey Ahfang Suan (Nabawan), James Ratib (Sugud), Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Masiung Banah (Kuamut), Saddi Abdul Rahman (Sukau), Niuzam Abu Bakar Titingan (Apas), Hamisa Samat (Tg Batu), Abdul Muis Picho (Sebatik), Osman Jamal (Balung) dan Adun lantikan Jaffari Waliam dan Ronnie Loh.