Skip to main
Logo Malaysiakini

Kurang bijak PKR guna logo sendiri di Sabah - Pemimpin Warisan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pendirian PKR untuk menggunakan lambang sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dilihat sebagai langkah yang kurang bijak oleh seorang pemimpin Warisan.

Menurut Ketua Bahagian Warisan Tuaran, Rakam Sijim, keputusan itu tidak mustahil menyebabkan wujud pertembungan sesama sekutu di kalangan mereka di Sabah nanti.

“[...] Pakatan politik di Sabah dikenali sebagai Warisan Plus, bukan Pakatan Harapan (PH) Plus. Oleh itu wajar sekiranya logo Warisan diberi ruang sebagai satu simbol untuk parti-parti lain yang bekerjasama seperti mana Upko dan DAP.

“Jika PKR terus berkeras, tidak mustahil akan wujud keadaan pertandingan sesama sendiri antara Warisan Plus dan PKR.

“Ini berkemungkinan boleh berlaku jika watikah calon PKR yang dikeluarkan oleh presiden mereka di Semenanjung, tidak selari dengan kesepakatan yang dipersetujui di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kepentingan Warisan didulukan

Semalam Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PKR tetap akan menggunakan lambang sendiri meskipun ada cadangan agar PH secara seragama menggunakan lambang Warisan dalam PRN Sabah bulan depan.

Kata Rakam, keputusan Anwar itu dibuat ketika Pengerusi PKR dan PH Sabah, Christina Liew sendiri berkata kepemimpinan parti di peringkat negeri sedang mempertimbangkan cadangan penggunaan simbol Warisan mewakili semua parti dalam gabungan Warisan Plus.

Tambahnya, siri kejayaan kerajaan negeri Sabah yang diterajui Warisan akan mempengaruhi pengundi dalam memberi undi.

“Kita mahu satu kesepakatan yang jitu dalam menentang pihak lawan yang berpecah, namun jika tiada kompromi maka kepentingan Warisan tetap perlu didahulukan.” tegasnya lagi.

Sebelum pertukaran kerajaan pusat, Warisan yang diketuai Shafie Apdal merupakan salah satu sekutu blok kerajaan yang diterajui PH.

Selepas tumbangnya kerajaan PH, meskipun saling menyokong, Warisan dilihat lebih rapat dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang baru saja menubuhkan parti baru, Pejuang.