Skip to main
Logo Malaysiakini

Satu kluster baru libatkan pekerja, pelanggan restoran di KL

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Terdapat sembilan kes baru dilaporkan hari ini dengan satu kluster baru dikesan di Kuala Lumpur dan dirujuk sebagai Kluster Maju.

"KKM ingin memaklumkan sebuah kluster baru yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

"Dua kes pertama kluster ini iaitu kes ke-9176 dan kes ke-9177 telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020.

"Mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur," kata Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada satu kenyataan hari ini.

Kluster Maju hari ini mencatatkan satu kes penularan Covid-19 di kalangan warga negara Malaysia, iaitu seorang pelanggan restoran itu.

Dr Noor Hisham menjelaskan setakat ini 672 saringan kontak rapat telah dijalankan bagi Kluster Maju, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan.

Jelasnya, daripada jumlah ini, tiga kes dikesan positif Covid-19; dan 669 individu negatif.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan di mana kes baru kluster ini yang merupakan pelanggan restoran tersebut telah dikesan.

"Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat sedang diteruskan. Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kedai makan tersebut," maklum beliau lagi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat tiga kes baru kluster Tawar di Kedah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kluster ini sebanyak 58 kes.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 2,733 orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.