DAP mahu jadi rakan kongsi boleh dipercayai Warisan
DAP mahu menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai oleh Warisan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung 26 September ini.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pagi tadi yang menolak permohonan semakan kehakiman pembubaran DUN Sabah.
“DAP akan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum Sabah yang akan datang sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai kepada Warisan dan akan menunggu cadangan DAP Sabah serta pandangan daripada Shafie Apdal.
“Jadikan pilihan raya umum Sabah sebagai titik permulaan gerakan rakyat Sabah untuk menegakkan demokrasi, integriti, kemakmuran ekonomi, keadilan dan melindungi hak-hak orang Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, DAP akan mengadakan mesyuarat di kalangan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) bagi membincangkan soal PRN Sabah itu.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata PKR tetap akan menggunakan lambang sendiri meskipun ada cadangan agar PH menggunakan simbol Warisan dalam PRN Sabah bulan depan.
Ini meskipun Pengerusi PKR dan PH Sabah, Christina Liew sendiri sebelum itu berkata kepemimpinan parti di peringkat negeri sedang mempertimbangkan cadangan penggunaan simbol Warisan mewakili semua parti dalam gabungan Warisan Plus.
Sebelum itu, ada cadangan daripada Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) untuk menggunakan logo Warisan sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong Warisan di Sabah.
Bubar DUN henti politik katak
Permohonan semakan semula pembubaran DUN itu difailkan oleh bekas ketua menteri Musa Aman bersama 32 Adun yang lain selepas cubaan menumbangkan kerajaan neheri Warisan diterajui Shafie Apdal, gagal.
Mereka menamakan Yang di-Pertua (YDP) Sabah Juhar Mahiruddin dan presiden Warisan itu sebagai responden pertama dan kedua.
Pada 29 Julai, 33 Adun berkenaan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru dan meminta Juhar mengadakan majlis angkat sumpah bagi kerajaan baru.
Bagaimanapun, atas nasihat Shafie, Juhar memutuskan untuk membubarkan DUN sehari kemudian.
Menurut Lim, dengan membubarkan DUN Sabah, Shafie membuat keputusan yang tepat untuk menghentikan "ahli politik katak" daripada dibeli bagi membentuk kerajaan baru, justeru mengembalikan pilihan kepada rakyat memilih kerajaan yang mereka mahukan.
" (Itu) adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengalahkan politik wang yang menyebabkan krisis politik," katanya.
Tambahnya, sehingga kini, Perdana Menteri Muhydin Yassin belum menjelaskan mengapa beliau menghantar Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan setiausaha politiknya untuk menemui Juhar dan meminta agar Shafie diganti dengan Musa.
Katanya, sejak PH digulingkan, rakyat marah kerana parti yang menang dalam pilihan raya umum (PRU) lepas diganti dengan parti yang kalah, dan "pengkhianatan" itu katanya diteruskan di Kedah, Perlis, Melaka dan Johor.
"Sabah adalah negeri pertama yang PN gagal merancang perubahan pemerintahan dengan membeli ahli politik katak.
"Ini adalah peluang yang baik untuk masa depan sebuah negeri ditentukan oleh kuasa rakyat dan bukannya politik wang," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai