Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Mufti kecewa pemimpin gagal tunjuk contoh baik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berdosa - itu yang dapat disimpulkan daripada kegagalan seseorang mengikuti arahan yang ditetapkan sebagai langkah mengekang wabak yang boleh membawa maut seperti Covid-19.

Beberapa mufti yang dihubungi Malaysiakini sependapat langkah mengetepikan perintah kuarantin adalah tidak bertanggungjawab kerana ia boleh memudaratkan orang lain.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berkata menjaga nyawa merupakan sebahagian daripada asas Islam yang semua orang perlu patuhi, sama ada rakyat biasa atau pemimpin negara.

“Berdosa, tapi nak kata dosa besar atau tida, tak berani, sebab dia tak ada dalam nas al-Quran ataupun hadis-hadis sahih.

“Cuma kita lihat kepada pandangan-pandangan ulama, mereka mengatakan orang yang mengingkari pihak kerajaan - kalau arahan itu dibuat untuk kepentingan awam dan rakyat - jadi orang yang mengingkarinya berdosalah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Salim menambah ketika ini kerajaan seluruh dunia - termasuk dalam kalangan negara Islam - meminta warganegara masing-masing menjaga diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk perintah kuarantin bagi menghalang wabak Covid-19 ini disebarkan kepada orang lain.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak melakukan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki.

Khairuddin yang juga anggota parlimen PAS bagi Kuala Nerus menegaskan dia diuji negatif selepas pulang pada 7 Julai lalu.

Beri kesan sangat berat

Bagaimanapun untuk rekod, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan memerlukan seseorang yang baru pulang dari luar negara menjalani kuarantin selama 14 hari.

Khairuddin menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Ogos lalu semasa usul agar Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya sebagai speaker dibawa.

Usul berkenaan diluluskan dengan majoriti tipis 111 berbalas 109 undi.

Berasa kesal dan dukacita dengan tindakan menteri tersebut, Wan Salim berkata, dia bimbang sekiranya kegagalan mematuhi SOP berkenaan akan menjadi ikutan orang ramai.

“Kita kesal, kita dukacita kerana sebagai seorang menteri dia sepatutnya menjadi contoh oleh rakyat, tapi apabila dia sendiri tak patuhi arahan, maka kita dukacita,” katanya.

“Apa yang sepatutnya (adalah), rakyat jangan mencontohi perangai atau sikap yang tak baik daripada sesiapa pun termasuklah menteri.

“Menteri pun manusia juga. Jadi kalau dia (ada) terlalai ke dan terlupa. Kita ada pertimbangan sendiri. Jadi ikut mana yang baik.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad turut menyuarakan kekecewaannya dengan insiden tersebut.

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad

Katanya dalam ajaran Islam ada menyatakan perintah Allah supaya seseorang itu tidak mendedahkan diri sendiri dan orang lain kepada sesuatu mudarat.

“Jadi kalau kita melanggar itu, maknanya kita sudah membuat dosalah kerana al-Quran minta kita taat kepada Allah, rasul, dan taat kepada pemerintah.

“Kita lihat apabila kita tak patuh, kesannya dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya adalah kesan yang sangat berat kepada negara, kepada masyarakat,” katanya.

Semua orang kena patuh

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Mohamad Shukri berkata seseorang itu dituntut untuk beramanah kerana ia merupakan pancaran terjemahan daripada iman.

“Sifat kepemimpinan sangat penting. Jadi tugas pemimpin ialah memimpin dan memandu rakyat.

"Kalau ada berlaku (begitu) dalam kalangan pemimpin kita sangat kesal dan rasa kecewa,” katanya.

Mufti Pahang Abdul Rahman Osman yang turut senada dengan Wan Salim dan Mohamad Shukri.

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman

Kata Abdul Rahman agama amat menekankan aspek menjaga nyawa dan ia diletakkan sebagai suatu kewajipan, terutamanya apabila ia boleh membawa kepada kemudaratan.

“Maknanya (dalam) kewajipan ini, orang yang tak melaksanakan sesuatu itu dikira berdosalah kalau dia tak nak bekerjasama,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, kewajipan itu perlulah dipatuhi oleh semua orang termasuklah dari kalangan pimpinan menteri.

“Dengan itu, kita wajib menjaga daripada misalnya gejala yang boleh menyebarkan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyifatkan sesiapa yang melanggar peraturan berkaitan mengekang penularan wabak Covid-19 sebagai berdosa.

Pada 12 Ogos lalu semasa mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) Mohd Asri berpendapat seseorang yang melanggarnya boleh dianggap melakukan dosa besar.

Hal itu kerana, katanya seperti dipetik Bernama, ia bukan hanya salah di sisi undang-undang malah merupakan dosa besar kerana membahayakan nyawa orang lain serta melanggar ajaran Nabi Muhammad SAW.

Beliau peraturan yang ditetapkan itu dilakukan kerajaan bagi menunaikan tanggungjawab pihak berkuasa memastikan keselamatan rakyat.

Malaysiakini turut cuba mendapatkan komen daripada Mohd Asri berhubung tindakan Khairuddin namun beliau memberitahu tidak dapat mengulas kerana sedang menghadiri suatu majlis.

Suatu petisyen mendesak Khairuddin meletak jawatan juga dilancarkan secara dalam talian. Setakat petang tadi ia sudah mendapat hampir 20,000 tandatangan.