Skip to main
Logo Malaysiakini

SATIRA | Saya selamat sampai 'bukti' saya pandu cermat - Si mabuk

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SATIRA |  Hari ini suatu hujah bergeliga keluar dari mulut seorang pemimpin, untuk mematahkan kritikan bahawa beliau tidak mematuhi undang-undang.

Pemimpin itu telah dituduh memandu ketika mabuk dan persoalan timbul mengapa tiada tindakan diambil terhadapnya.

Bila disoal mengenai kritikan ini, pemimpin itu menjawab, "saya telah sampai ke destinasi dengan selamat."

Malah, kata pemimpin itu, beliau telah melalui tiga 'roadblocks' (sekatan jalan) sebelum sampai ke destinasi beliau.

Penyokong pemimpin itu pula bertegas jika pemimpin itu selamat sampai ke destinasi, tidak mengapa jika dia memandu ketika mabuk.

Pengkritik cemburu, merepek

Mereka melontarkan hujah hebat yang tidak dapat disangkal lagi:

"Jika beliau memandu dengan bahaya, sudah tentu berlaku kemalangan dan kehilangan nyawa."

Malah kata mereka, pemimpin itu telah diberi kebenaran untuk meminum arak sebelum memandu kereta beliau.

Pengkritik yang cemburu dengan pemimpin itu pula mengatakan sama ada beliau sampai destinasi dengan selamat atau tidak bukan persoalannya.

Sebaliknya, kata pengkritik yang merepek, kesalahan itu adalah tindakan memandu ketika mabuk, tidak kira sama ada berlakunya kemalangan atau tidak.

Dakwaan terhadap pemimpin ini difahamkan masih dalam siasatan pihak berkuasa.


ZIKRI KAMARULZAMAN ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel satira ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.