DBKU minta Pemuda DAP S'wak cabut pelekat tulisan Cina
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Pemuda DAP Sarawak yang menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pihaknya juga meminta kumpulan terbabit menurunkan pelekat tersebut dengan serta-merta.
"DBKU telah membuat laporan polis semalam (pukul 3 petang) di Balai Polis Sentral dan seterusnya memberikan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching berhubung isu berkenaan," katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad.
Abdul Rahman berkata tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 103 (3), Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996 kerana mencacatkan nama di papan tanda nama jalan dan juga Undang-undang Kecil PBT (Kebersihan) 1999 kerana salah laku terhadap harta benda milik pihak berkuasa tempatan atau kerajaan.
"Tidak kira apa pun motif, sama ada tersurat ataupun tersirat, DBKU berharap mana-mana pihak tidak mengulangi tindakan yang jelas berbentuk provokatif dan menjejaskan keharmonian kaum di bandar raya Kuching, DBKU juga berharap pihak terbabit akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini," tegas Abdul Rahman.
Semalam, sekumpulan ahli Pemuda DAP Sarawak didapati menampal pelekat dalam bahasa Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya ini atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.
Tindakan diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin Julian Tan yang tular di media sosial itu turut mengundang pelbagai komen netizen yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai