Menjawab persoalan siapa pemimpin muda
ULASAN | Dua hari yang lalu terdapat sebuah artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini bertajuk “Siapa Pemimpin Muda?”. Dalam artikel tersebut penulis menyatakan idea penubuhan parti muda adalah adalah sesuatu yang ganjil dan keterlaluan kerana dianggap ia tidak realistik.
Khususnya, soal umur ahli parti tersebut yang jika sudah melepasi had umur mestilah keluar parti.
Saya tidak pasti, adakah penulis memahami konsep parti orang muda dalam konteks politik semasa di Malaysia atau sekurang-kurangnya parti yang berasaskan orang muda.
Dalam konteks Malaysia, umum diketahui, parti politik mempunyai hierarki yang berlapis-lapis dan feudal yang diterajui oleh orang-orang tua. Rata-rata kepimpinan utama atau pusat telahpun melebihi umur 60 tahun dan ke atas.
Jarang sekali kepemimpinan utama diterajui oleh orang muda yang berumur sekurang-kurangnya 45 tahun dan ke bawah. Jika ada pun mungkin seorang dua sebagai syarat hendak menunjukkan parti tersebut mengangkat suara orang muda.
Bahkan, sudah menjadi kebiasaan atau budaya orang muda mesti berada dalam kepemimpinan muda berbanding utama atau pusat. Antara sebabnya, orang muda harus menghormati dan memberi muka kepada orang-orang tua yang dianggap lebih pandai berbanding orang muda.
Akhirnya, keputusan-keputusan utama parti atau perjalanan penting politik tanah air hanya ditentukan oleh majoriti orang tua yang merupakan hanya 10.3 peratus iaitu mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas daripada jumlah populasi rakyat Malaysia.
Berbalik kepada persoalan parti berasaskan anak muda. Adakah parti ini akan menghadkan keahlian atau kepemimpinan pada sesuatu had umur yang seterusnya, akan menjadi “parti pondok-pondok” apabila mencapai usia “matang” tersebut?
Sehingga kini, kita masih belum tahu secara tuntas apakah bentuk dan perlembagaan parti tersebut kerana ia masih belum wujud.
Namun, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa parti berasaskan anak muda adalah parti yang tidak semestinya perlu meletakkan had umur tetapi memberi peluang yang lebih besar kepada anak muda untuk terlibat dalam kepemimpinan utama parti.
Sebagai contoh, parti anak muda sekurang-kurangnya tidak perlu mewujudkan sayap pemuda tetapi cukup dengan jawatankuasa pusat yang membenarkan “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” antara orang muda dengan orang tua.
Hal ini secara tidak langsung memberi ruang kepada anak muda untuk memegang jawatan-jawatan utama dalam kepemimpinan parti.
Seterusnya, membuat keputusan-keputusan penting yang melibatkan hal kepentingan parti mahupun negara.
Persoalan seterusnya, adakah parti anak muda hanya akan memberi fokus kepada isu-isu seputar orang muda dan tidak memberi penekanan terhadap isu orang-orang tua atau kesejahteraan rakyat Malaysia secara umum.
Sering kali orang yang mengkritik idea penubuhan parti anak muda tidak terlepas daripada kerangka pemikiran begini. Ini cara pandang yang salah.
Anak muda tidaklah terlalu sempit untuk memahami sistem politik tanah air ini tidak menggunakan sistem perwakilan berkadar tetapi menggunakan sistem pengundian pertama melepasi garisan penamat yang memerlukan sokongan majoriti daripada setiap saluran pengundi.
Justeru, atas prinsip kesaksamaan, parti orang muda sudah tentu boleh dan akan memberikan penekanan kesejahteraan kepada semua kelompok masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan kelas.
Hal ini seterusnya, tidaklah meletakkan parti orang muda terkebelakang berbanding parti Kaum Muda seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) atau Kesatuan Melayu Muda (KMM) tetapi sebenarnya meletakkannya setaraf dengan parti-parti ini yang ketika ini hendak menentang budaya feudalisme parti politik di Malaysia.
Persoalan nasional yang belum selesai
Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, siapakah yang bersalah dalam isu pendidikan dan perpaduan yang belum selesai, sastera Malaysia berbahasa Melayu atau pelbagai bahasa, isu bahasa Melayu dengan ekonomi pasaran bebas, atau pelajar aliran agama setanding dengan pelajar aliran Inggeris dalam isu ekonomi.
Sejak bertahun-tahun, kepemimpinan eksekutif negara yang membuat dasar awam dimonopoli oleh mereka-mereka yang boleh dikategorikan sebagai orang tua.
Mereka individu yang sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan isu-isu ini tetapi mengapa orang muda yang dipersalahkan?
Penulis juga mempertikaikan tahap intelektual orang muda masih belum mampu menyelesaikan permasalahan politik atau lanskap politik zaman ini.
Namun, jika kita meneliti adakah masalah- masalah politik semasa disebabkan oleh orang muda atau sebenarnya disebabkan oleh orang- orang tua yang merasakan politik ini hanya milik mereka.
Jika benar permasalahan ini hanya boleh diselesaikan oleh orang tua, mengapakah sehingga hari ini persoalan ini masih belum selesai walaupun sudah terlalu lama orang-orang tua menerajui tampuk kepemimpinan negara dan parti.
Ini persoalan penting yang perlu ditanya dan dijawab secara jujur oleh kita semua. Memetik konsep penting S.H. Alatas dalam bukunya Mitos Peribumi Malas mengenai menyamaratakan atau generalisasi adalah cara pandang yang salah bukan sahaja oleh orang- orang penjajah tetapi juga orang pribumi yang percaya bahawa pribumi mempunyai kelemahan tersebut.
Sememangya tidak dinafikan terdapat orang muda yang tidak mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi tetapi adakah semua orang tua mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi?
Dalam kaedah penyelidikan terdapat konsep persampelan yang merupakan proses memilih sekumpulan (orang, institusi, tempat atau fenomena) oleh pengkaji untuk sesuatu penyelidikan yang mewakili kumpulan besar (orang, institusi, tempat, atau fenomena) yang dipilih. Proses ini bertujuan untuk memperoleh maklumat tentang sesuatu populasi (orang, institusi, tempat, atau fenomena).
Proses ini perlu dilakukan secara rawak dan dapatan kajian tersebut mesti menunjukkan tren atau kekerapan yang signifikan supaya boleh dijadikan sebagai satu fenomena atau hasil kajian.
Jika ia berlaku hanya dalam sesuatu kelompok orang muda adalah tidak signifikan untuk menyamaratakan kepada semua orang muda.
Seperti sudah menjadi satu budaya dalam sistem masyarakat bahawa hanya orang muda sering melakukan kesilapan berbanding orang tua. Tidak cukup dengan itu, permasalahan yang berpunca dari pertelingkahan orang tua juga orang muda yang akan dipersalahkan. Begitulah nasib orang muda, sudah jatuh ditimpa tangga.
Namun, orang muda itu sewajarnya lebih rasional dan progresif. Tidak berkecil hati dikritik dan dicemuh oleh orang yang lebih tua. Bahkan, tidak terjatuh semangatnya dek sindiran yang tidak memberi untung.
Parti orang muda, jika ia benar-benar diwujudkan, merupakan satu pembaharuan dalam konteks politik semasa. Khususnya, ketika pertelingkahan yang tidak sudah antara orang-orang tua yang pada akhirnya memberi kesan kepada keadaan ekonomi dan kestabilan politik tanah air.
Bahkan, sekurang-kurangnya, ia mampu memaksa perubahan budaya parti-parti politik tanah air dengan memberi ruang yang lebih besar kepada ahli-ahli politik muda untuk diberikan tempat dalam politik semasa.
Parti ini sewajarnya mesti menjadi sebuah parti pelbagai etnik dan mengangkat citra kebangsaaan secara saksama. Menilai kebangsaan tidak berdasarkan warna kulit tetapi melihat sebagai sebuah pemilikan bersama.
TARMIZI ANUWAR merupakan Pengurus Projek dan Operasi Institute for Leadership and Development Studies (LEAD) merangkap Ahli Jawatankuasa Isu dan Dasar Liga Rakyat Demokratik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai