Khairuddin perlu lalui proses undang-undang walaupun menteri - Takiyuddin
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.
Takiyuddin berkata, Khairuddin tidak terkecuali melalui proses undang-undang walaupun dia merupakan seorang menteri.
"Serah kepada pihak berautoriti, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jika ada laporan polis yang kena siasat.
"Proses undang-undang biasalah walaupun seorang menteri," katanya kepada media selepas menyampaikan Skim Bantuan Pelajar di Kota Bharu, hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa Khairuddin tidak menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Khairuddin yang juga anggota parlimen PAS bagi Kuala Nerus bagaimanapun berkata dia telah membuat ujian Covid-19 sebanyak tiga kali, iaitu ketika tiba dari Turki, 13 hari kemudian dan baru-baru ini sebelum hadir ke satu acara di Istana Negara.
Perkara itu mula dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen pada 18 Ogos, yang mendakwa Khairuddin melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara.
Sebagai rekod, SOP yang ditetapkan kerajaan memerlukan seseorang yang baru pulang dari luar negara menjalani kuarantin selama 14 hari.
Susulan itu, nama Khairuddin mula menjadi perhatian di medial sosial dengan ramai yang mempersoalkan apa yang didakwa sebagai layanan berbeza dengan orang biasa yang dikenakan tindakan selepas melanggar SOP.
Sebelum ini, seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba ke tanah air.
Sementara itu Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu menegaskan, Khairuddin tidak bersalah sehingga diputuskan oleh mahkamah.
"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, kalau mahkamah hukum dia bersalah, bersalahlah. Tak kira rakyat atau pemimpin," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai