Skip to main
Logo Malaysiakini

'Muafakat Nasional akan adakan libat urus dengan bukan Melayu, Islam'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Muafakat Nasional (MN) akan meneroka kerjasama dengan pelbagai parti dan badan bukan Melayu-Islam, menurut Setiausaha Bersama Sekretariat MN Annuar Musa.

Annuar juga berkata Bersatu juga telah termasuk dalam sekretariat MN.

"Sekretariat MN yg kini dianggotai PAS, Umno dan Bersatu akan membuat 'engagement' secara rasmi dengan pelbagai parti dan badan bukan Melayu dan bukan Islam.

"(Ia) untuk memperkasakan lagi saf berpadu menentang PH secara satu lawan satu," katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Dalam ciapan itu, dia turut melampirkan program ceramah untuk kempen PRK Slim yang melampirkan setiausaha agung lima parti, iaitu Umno, PAS dan Bersatu serta MCA dan MIC.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan MN telah menghantar surat jemputan kepada Bersatu untuk menyertai gabungan MN.

Hari ini Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memaklumkan yang Bersatu telah menghantar surat balas yang menyatakan persetujuan untuk menyertai gabungan itu.

Dalam pada itu, Annuar berkata Umno, PAS dan Bersatu harus berani meneroka "politik norma baru" dengan mengemukakan tawaran baru buat Malaysia.

Katanya, gabungan itu perlu mengambil pendekatan yang inklusif berpaksikan agenda rakyat.

"Kita ambil pendekatan yg inklusif, berpaksikan agenda rakyat,bertindak cemerlang dengan idea dan tawaran baru berasaskan pemikiran luar kotak," katanya lagi.