Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bagaimana isu menteri tak jalani kuarantin diterjemah sebagai saya iri hati?'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok mempersoal laporan Harakahdaily yang menyifatkannya sebagai iri hati dengan Menteri Perladangan, Perusahaan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang kini dihujani kritikan kerana tidak menjalani kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki bulan lalu.

Kok yang juga bekas menteri industri utama berkata rakyat kini memerhati kerajaan dalam menangani isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di kalangan menteri.

"Bagaimana isu menteri Khairuddin tidak menjalani kuarantin wajib boleh diterjemah sebagai saya iri hati dengan 'pencapaian beliau?

"Seluruh negara memerhati bagaimana kerajaan PN menangani isu menteri melanggar pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), dengan tidak menjalani kuarantin wajib.

"Sekarang Ketua Pengarah (Dr Noor Hisham Abdullah) KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) membawa isu itu kepada PMO (Pejabat Perdana menteri) untuk membuat keputusan. Perdana menteri masih berdiam.

"Sekarang, Harakahdaily dakwa saya sebagai iri hari dengan Khairuddin...oops," kata Kok dalam kiriman di Facebook hari ini.

Harakahdaily yang merupakan lidah rasmi PAS sebelum ini menerbitkan artikel yang menyifatkan Khairuddin merupakan mangsa iri hati pemimpin DAP.

Roslan Shahir

Laporan itu memetik Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang menuduh Kok cemburu kerana Khairuddin mempunyai "pencapaian lebih baik" di Kementerian Perladangan, Perusahaan dan Komoditi.

Kok merupakan ahli parlimen yang menggesa Khairuddin menjelaskan isu tidak menjalani kuarantin selepas kunjungan di Turki di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu.

'Agong pun jalani kuarantin'

Sementara itu, mengulas isu sama, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa Khairuddin tidak menjalani kuarantin sekembalinya dari Turki pada 7 Julai lalu, sedangkan katanya, Yang di-Pertuan Agong pun menjalani kuarantin selepas kakitangan istana disahkan positif Covid-19.

Khairuddin sebelum ini mempertahankan dirinya dengan berkata kebenaran yang diberikan untuknya memasuki Istana Negara pada 17 Ogos lalu merupakan bukti dia negatif Covid-19.

“Khairuddin masih gagal memahami bahawa keputusan ujian negatif beliau bukanlah isu utama. Jika hasil ujian positif pastilah beliau sudah berada di hospital dan tidak akan ada masalah selanjutnya.

“Isunya ialah mengapa beliau dan keluarga tidak dikenakan arahan kuarantin 14 hari. Ini jelas suatu tindakan penguatkuasaan undang-undang pilih kasih di mana pada menteri bebas, sedangkan rakyat biasa ditahan, digari dan didenda.

“Sewajarnya Khairuddin berasa insaf dan mencontohi kepimpinan melalui tauladan yang ditunjukkan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong yang turut mengenakan kuarantin kendiri setelah kakitangan istana baginda diuji positif Covid-19.

“Jika Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai imuniti undang-undang boleh mengikuti protokol keselamatan tersebut, mengapa tidak Khairuddin? Adakah Khairuddin berasa beliau mempunyai status istimewa?” soal Lim dalam satu kenyataaan hari ini.

Isu pelanggaran kuarantin Khairuddin mula-mula dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen pada 18 Ogos, mendakwanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara.

Kok turut mendedahkan bahawa Khairuddin telah menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat sejurus pulang dari Turki pada 8 Julai.

Lim dalam kenyataannya membandingkan kejadian itu dengan apa yang berlaku di Ireland apabila seorang menteri meletak jawatan dua hari selepas melanggar protokol keselamatan Covid-19, sedangkan katanya, Khairuddin pula angkuh dan tak mahu mengakui kesalahan.

“[...] Keangkuhan dan keengganan Khairuddin untuk mengakui kesalahan beliau setelah enam minggu jelas tidak boleh diterima dan bertentangan dengan kepentingan rakyat.

“Kini soalnya bukan lagi tentang hukuman terhadap Khairuddin atas salah lakunya semata-mata, malah adakah beliau layak menjadi menteri dalam kerajaan Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Khairuddin yang merupakan anggota Parlimen Kuala Nerus dituduh melanggar perintah kuarantin 14 hari yang dikenakan terhadap individu yang baru tiba dari luar negara.

Sebelum ini, katanya, dia telah membuat tiga ujian Covid-19, iaitu ketika tiba dari Turki pada 7 Julai, pada 13 hari kemudian, dan baru-baru ini sebelum hadir ke satu acara di Istana Negara.

Untuk rekod, ketika lawatan Khairuddin ke Turki dari 3 hingga 7 Julai, kes Covid-19 yang dicatatkan di sana adalah lebih 5,600 kes baru dan dan 93 kematian.

Turki mencatatkan lebih 250,000 kes Covid-19 dan 6,061 kematian secara keseluruhannya.