Skip to main
Logo Malaysiakini

8 kes baru, 5 penularan tempatan dari kluster Tawar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat lapan kes baru Covid-19 hari ini, dengan lima daripadanya merupakan kes penularan tempatan.

Kelima-lima kes itu melibatkan warga Malaysia daripada kluster Tawar di Kedah, menjadikan jumlah kes daripada kluster itu kepada 63 kes.

Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah melakukan 2,942 ujian saringan dalam kluster itu - kebanyakannya penduduk di Kedah dan Pulau Pinang - dengan 2,670 orang didapati negatif.

Di Kedah, seramai 52 orang disahkan positif dengan 135 lagi masih menunggu keputusan, manakala di Pulau Pinang sramai 11 positif dan 63 masih menunggu keputusan.

Tiga lagi kes penularan tempatan melibatkan warga asing, masing-masing di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat empat pesakit yang sembuh hari ini, menjadikan kes aktif yang sedang dirawat pada masa ini adalah 183 kes.

Daripada jumlah itu, terdapat lapan kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban Covid-19 di Malaysia kekal 125 orang, iaitu 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Percanggahan antara MySejahtera, polis

Dalam pada itu, Noor Hisham turut menjelaskan soal maklumat dalam aplikasi MySejahtera, yang menyatakan terdapat kes Covid-19 di sana, tetapi dinafikan oleh polis.

"Untuk makluman, kes positif Covid-19 tersebut dilaporkan pada 10 Ogos dan merupakan seorang warga yang menjalani saringan di tempat kerja. Sementara menunggu keputusan, majikannya telah meletakkannya di bawah kuarantin di sebuah hotel di Subang Jaya.

"Justeru ia merupakan lokasi yang turut didaftar dalam aplikasi MySejahtera," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, alamat pendaftaran kes tersebut telah dipindah semula ke tempat tinggal individu itu di Cheras selepas keputusan ujian saringan diperolehi.

Terdahulu, terdapat mesej tular yang menggesa orang ramai menghindari Empire Shopping Gallery, Subang Parade dan Mydin USJ di sana, selepas aplikasi MySejahtera menunjukkan lokasi tersebut adalah kawasan panas Covid-19.

Polis bagaimanapun menafikan perkara itu serta menyatakan dakwaan bahawa kawasan berkenaan dilarang kepada orang ramai juga tidak benar.

Sebagai rekod, aplikasi MySejahtera tidak memberikan lokasi tepat bagi kes Covid-19 atas sebab privasi perubatan.

Sebagai gantinya, ia memberitahu pengguna sama ada kes Covid-19 telah dilaporkan dalam satu kilometer dari lokasi yang telah dimasuki oleh pengguna.

Menurut Noor Hisham lagi, individu itu kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Ini penting kerana segala tindakan pengesanan kes secara aktif dan juga saringan kontak rapat dijalankan di lokasi tempat kediaman kes, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras," katanya sambil memaklumkan alamat kes tersebut telah dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera.

Noor Hisham turut menyampaikan penghargaan kepada orang ramai yang menggunakan aplikasi MySejahtera dan isu tersebut menunjukkan masyarakat mengambil berat perkembangan kes Covid-19 di tempat tinggal mereka.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.